Najib tidak mahu terperangkap dalam negara berpendapatan pertengahan

Najib tidak mahu terperangkap dalam negara berpendapatan pertengahan

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberitahu media Arab Saudi bahawa Malaysia melakukan pendekatan baharu ekonomi bagi keluar daripada perangkap negara berpendapatan pertengahan.

Ditemubual stesen al-Arabiya News Channel baru-baru ini, Presiden Umno berkenaan berkata, transformasi tersebut dibuat sebaik dirinya menduduki kerusi Perdana Menteri pada 2009.

“Satu daripada cabaran yang saya hadapi ialah Malaysia terjerumus ke dalam perangkap apa yang dipanggil sebagai negara berpendapatan pertengahan.

“Jadi, kami memerlukan satu model baharu ekonomi untuk membawa kami keluar dari perangkap itu dan untuk membolehkan kami menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi, sebuah negara yang maju sepenuhnya serta sebuah negara yang maju dari segi ekonomi.

“Saya kemukakan pelan transformasi nasional yang merangkumi aspek ekonomi serta pentadbiran dan kami menolak apa yang dipanggil inertia dan monotoni perniagaan,” ujarnya dipetik dari Sinar Harian hari ini.

Najib dalam slot sempena lawatan Raja Salman Abdulaziz Al Saud ke Malaysia itu berkata, hasil pelaksanaan pelan tersebut menjadikan pergantungan Malaysia terhadap hasil minyak berkurang daripada 41 peratus pada tahun 2009 kepada 14 peratus pada masa ini.

“Kalaulah kami tidak lakukan transformasi itu, hari ini kami akan menderita akibat daripada kejatuhan teruk dan mendadak harga minyak, yang mungkin juga akan menjejaskan hasil kerajaan yang begitu banyak bergantung terhadapnya.

“Di samping itu, kami ambil keputusan mengenakan cukai terhadap barang dan perkhidmatan serta merasionalisasikan sokongan kerajaan,” jelasnya ketika ditemubual Pengurus Besar al-Arabiya Turki, Aldakhil.

Ditanya tentang rekod kurang daripada satu peratus kadar kemiskinan di negara ini, Najib menjawab pencapaian itu sebagai angka yang lebih mengagumkan.

Menurutnya, kadar kemiskinan pada masa ini sangat rendah iaitu 0.6 peratus dengan penurunan pada 2015 berbanding angka lebih enam peratus selepas negara baru merdeka.

“Kemiskinan telah berkurang dengan banyaknya hasil daripada fokus yang sentiasa diberi terhadap pertumbuhan, dan pertumbuhan ini mempunyai kaitan dengan keadilan,” kata Najib lagi.

Bagaimanapun, pentadbiran Kabinet Najib sejak lapan tahun lalu menyaksikan lebih tujuh juta rakyat negara ini menerima agihan bantuan bagi golongan berpendapatan rendah.

Penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) itu merangkumi kira-kira 23 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk negara ini.

Kerajaan juga telah mengagihkan lebih RM19 bilion BR1M setakat tahun lalu sejak bantuan berkenaan diperkenal pada 2012 sekaligus bercanggah dengan ciri negara berpendapatan tinggi yang diuar-uarkan Najib.

Pada masa sama, Bank Negara Malaysia (BNM) tahun lalu memaklumkan paras hutang isi rumah semasa adalah 89.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), iaitu antara yang tertinggi di Asia.

Sementara itu, Belanjawan Pakatan Harapan 2016 mendedahkan beban hutang kerajaan menghampiri 54 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan boleh melebihi 70 peratus jika mengambil kira hutang yang dijamin kerajaan (‘contingent liability’).

TAGS