Najib tidak pernah keluar mesyuarat Kabinet ketika bincang isu SRC

Najib tidak pernah keluar mesyuarat Kabinet ketika bincang isu SRC
Najib tidak pernah meninggalkan mesyuarat Kabinet walaupun perbincangan berkaitan dengan kepentingan diri beliau sendiri.

Bekas Timbalan Ketua Setiausaha (kabinet) Mazidah Abdul Majid hari ini memberitahu mahkamah bahawa sepanjang menjadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak pernah keluar meninggalkan mesyuarat itu.

Katanya, Najib merangkap Menteri Kewangan pada waktu itu tidak pernah keluar daripada mesyuarat kabinet pada 2011 dan 2012 ketika perbincangan berkaitan cadangan pusat menjamin pinjaman SRC lebih RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP).

Mazidah mengesahkan perkara itu ketika sesi soal balas peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, lapor Malaysiakini.

Berikut adalah soal jawab antara Shafee dengan Mazidah dalam mahkamah hari ini.

Shafee: Dalam kes SRC (perbincangan kabinet berkenaan pemberian jaminan kerajaan kepada pinjaman RM4 bilion), anda sebut (dalam keterangan lisan sebelum ini) tiada orang keluar (dari mesyuarat ekoran konflik kepentingan)?

Mazidah: Saya kata tiada siapa keluar.

Shafee: Anda tak kata sama ada dia (Najib) patut keluar?

Mazidah: Saya tidak beri pandangan (tentang perkara ini).

Mazidah setuju dengan kenyataan Shafee bahawa jika ada sebarang isu dengan Najib memiliki konflik kepentingan berkenaan perbincangan kabinet tentang SRC International, maka menteri-menteri yang ada ketika perbincangan itu patut membangkitkannya.

Shafee: Setiap menteri kabinet, jika mereka tahu (tentang sebarang konflik kepentingan melibatkan Najib dan SRC International), mereka akan mengingatkan (Najib ketika mesyuarat kabinet). Ada empat atau lima peguam (menteri yang berlatarbelakang bidang guaman), mereka akan ingatkan tetapi berdasarkan ingatan anda tiada banyak perbahasan tentang perkara itu, ia berjalan dengan lancar.

Mazidah: Ya.

Najib Razak berdepan tujuh tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Beliau berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan, Najib boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda yang boleh sampai lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.