Najib tidak serik dengan 1MDB, cuba campur kes MBSB pula, kata Rafizi

Najib tidak serik dengan 1MDB, cuba campur kes MBSB pula, kata Rafizi

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak didakwa tidak serik dengan skandal yang melanda beliau dalam isu 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) apabila  oleh Malaysia Building Society Berhad (MBSB).

Ahli parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata, kerana suburnya budaya ahli politik campur tangan di dalam pengurusan syarikat atau badan berkepentingan awamlah ia telah menjejaskan nama baik negara.

“Paling dikesali adalah apabila Perdana Menteri boleh mengarahkan sebuah bank mengenepikan tindakan kebankrapan ke atas seorang Ketua Bahagian Umno pada ketika beribu-ribu rumah rakyat miskin disita dan dilelong setiap minggu sementara pemiliknya jatuh muflis hanya kerana gagal membayar beberapa ribu,” kata Setiausaha Agung PKR itu dalam satu kenyataannya hari ini.

Rafizi mengulas tindakan Najib melalui setiausahanya yang menghantar satu surat kepada MBSB agar menyelesaikan tuntutan bangkrap ke atas Ketua Umno Bahagian Kepong agar diselesaikan di luar mahkamah.

Menurut Rafizi, beliau telah mendapat satu salinan surat dari Tan Sri Haji Shukry Mohd Salleh, Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri kepada Datuk Ahmad Zaini Othman, CEO MBSB bertarikh 20 Oktober 2015.

Surat tersebut mengarahkan supaya MBSB mengenepikan notis kebankrapan terhadap Datuk Rizuan Abdul Hamid, Ketua Umno Kepong berhubung pembangunan 10 unit banglo di Bukit Tunku.
Selain itu, surat itu secara jelas menyatakan arahan agar MBSB menyelesaikan tuntutan pinjamannya terhadap Datuk Rizuan Abdul Hamid di luar mahkamah.

Katanya, Rizuan adalah salah seorang Ketua Bahagian Umno yang paling lantang membela Najib.

Beliau menjadi popular apabila mengikrarkan beliau berani mati untuk Najib semasa Mesyuarat UMNO Bahagian Kepong tahun lalu seperti dilaporkan Astro Awani.

MBSB pula adalah sebuah anak syarikat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang memiliki 65% saham di dalam MBSB.

Oleh itu, MBSB adalah pembiaya rumah milik rakyat yang perlu dilindungi dari campur tangan politik, katanya.

“Saya telah membuat semakan awal dan berpendapat surat ini adalah benar dan tulen berdasarkan maklumat yang saya perolehi setakat ini.

“Oleh yang demikian, saya mengingatkan Datuk Seri Najib Tun Razak supaya berhenti campur tangan di dalam urusan mana-mana badan atau syarikat berkepentingan awam sama ada campur tangan itu secara langsung atau tidak langsung,” katanya.

“Beliau juga perlulah mengeluarkan arahan kepada semua anggota Jemaah Menteri supaya tidak mengeluarkan surat-surat arahan seperti ini dan menghentikan segala campur tangan di dalam mana-mana badan atau syarikat berkepentingan awam,” katanya.

TAGS