Malaysia Dateline

Najib tidur ketika jadi Pengerusi 1MDB, bidas Pemuda AMANAH

Pemuda AMANAH mempersoal kedudukan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sehingga tidak mampu mengawal penyelewengan Jho Low.

Timbalan Ketuanya, Faiz Fadzil menegaskan Najib mustahil tidak tahu tentang peranan Jho Low dan penggelapan dana 1MDB.

Menurutnya, Artikel 117 Memorandum and Artikel 1MDB mengkehendaki segala komitmen kewangan 1MDB termasuk pelaburan perlu melalui kelulusan bertulis Perdana Menteri selaku Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

“Adakah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidur ketika menjadi Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB kerana menyatakan dalam temubual dengan Reuters bahawa beliau tidak ada kawalan ke atas tindakan Jho Low berkaitan transaksi 1MDB?

“Keperluan yang dinyatakan secara jelas oleh Artikel 117 ini sememangnya mengikat Datuk Seri Najib Razak terhadap beberapa transaksi yang dibuat secara salah dan curang kepada syarikat yang dikawal Jho Low.

“Antaranya, bayaran sejumlah AS$700 juta kepada Good Star Ltd dan bukannya kepada PetroSaudi International serta AS$3.5 bilion kepada Aabar Investment PJS Ltd sehinggakan disaman di Mahkamah Arbitrasi Antarabangsa London,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Najib tetap tidak mengambil sebarang tindakan meskipun Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 2016 telah melaporkan wujudnya penyelewengan dalam kedua-dua transaksi terbabit.

“Datuk Seri Najib Razak bukan sahaja gagal bertindak ke atas Laporan PAC tersebut, sebaliknya Laporan Audit mengenai 1MDB pula diklasifikasikan di bawah OSA.

“Hukuman penjara 54 bulan yang dikenakan terhadap pegawai bank BSI di Singapura yang menguruskan akaun Jho Low berkaitan penyelewengan dana 1MDB adalah bukti jelas penglibatan Jho Low dalam transaksi salah dan curang 1MDB,” hujahnya.

Sehubungan itu, Pemuda AMANAH, jelasnya, mengganggap reaksi Najib itu sebagai kenyataan tidak bertanggungjawab seorang pemimpin utama ketika negara digemparkan dengan skandal mega tersebut.

“Najib bukan sahaja dilihat melindungi transaksi salah dan curang 1MDB, malah menggunakan kedudukan sebagai Menteri Kewangan untuk menggunakan dana rakyat bagi menyelamatkan hutang 1MDB sebanyak RM7 bilion.

“Hutang-hutang yang dibayar kerajaan ini dibuat tanpa sebarang siasatan atau due diligence walaupun syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) tersebut mengalami kerugian teruk dan tanggungan hutang yang besar,” ujarnya.

Faiz yang juga Adun Permatang Pasir di Pulau Pinang berkata, kenyataan Najib bahawa 1MDB suatu yang baik untuk negara dan beliau tidak tahu tentang penggelapan dana 1MDB adalah jauh meleset daripada fakta dan keadaan sebenar.

“Jawapan-jawapan bersifat penafian kosong Najib berkenaan skandal mega itu tidak merungkai segala persoalan yang timbul selama ini.

“Najib gagal menyakinkan rakyat bahawa beliau tiada apa-apa kepentingan dalam transaksi-transaksi salah dan curang 1MDB memandangkan tiada sebarang tindakan diambil terutama ke atas Jho Low yang masih kekal kebal daripada tindakan undang-undang hingga kini,” tambahnya lagi.