Malaysia Dateline

Nak capai ‘generasi penamat rokok’ jadi lebih sukar dengan lambakan rokok elektronik, vape

Dengan lambakan produk merokok alaf baru seperti rokok elektronik iaitu vape, masalah ketagihan rokok di Malaysia sedang menjadi semakin parah dan dibimbangi akan menyebabkan Malaysia terlambat daripada mencapai The End Game dalam tempoh yang telah dijangkakan.

Difahamkan, Generational End Game atau generasi penamat rokok adalah satu usaha untuk memutuskan generasi perokok bermula daripada umur 18 tahun dan ke bawah. Jika usaha ini berjaya, mereka selepas ini tidak dibenarkan untuk memiliki, membeli, menghisap rokok dan ia tidak menjadi satu warisan di dalam keluarga itu.

Pakar Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah berkata, situasi merokok di Malaysia masih berdepan keadaan mencabar dengan peratusan merokok hanya turun sedikit daripada 23 peratus kepada 21 peratus semenjak tahun 1986 hingga sekarang.

“Kos rawatan penyakit-penyakit akibat daripada tabiat merokok ini juga telah lama menjadi beban kepada negara terutamanya terhadap sistem kesihatan dan kewangan kita.

“Bilangan penggunanya (vape) kini semakin meningkat daripada anggaran 600,000 orang melalui kajian National E-Cigarette Survey (NECS) 2016 kepada lebih 1.1 juta orang seperti mana yang dilaporkan di dalam National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2019,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Justeru itu, beliau berkata, cadangan bersifat berani bagi membuat larangan merokok terhadap generasi akan datang di dalam akta baharu yang akan dibentangkan nanti adalah sangat disokong dan dipuji.

Untuk rekod, dilaporkan sebanyak 53 badan bukan kerajaan (NGO) dan badan profesional telah menggesa semua Ahli Parlimen menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Tembakau dan Merokok yang akan dibentangkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam masa terdekat bagi menyelesaikan isu ketagihan merokok.

Baca juga: Patutlah orang percaya vape bagus untuk perokok, ahli farmasi ini dedah banyak kajian ‘bias’ ditaja industri rokok

Baca juga: Tiket konsert Dewa 19 licin dalam tempoh sejam, ustaz Pas tegur kenapa majlis ilmu percuma tak rasa teruja?