‘Nak dapat kuasa, bukan sebab nak jaga Islam sangat’

‘Nak dapat kuasa, bukan sebab nak jaga Islam sangat’

Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH, Ustaz Zolkharnain Abidin berpendapat tidak semestinya semua kenyataan pemimpin parti berlabel Islam adalah benar.

Tanpa menyebut nama parti, beliau berkata, fokus parti berlabel Islam itu ialah hendak mendapat kuasa dan bukan kerana benar-benar memelihara Islam.

“Sebab kalau nak jaga Islam, di Mekah tak ada pun parti itu, tapi Kaabah (Islam) tetap terjaga,” katanya.

Menurut Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), pemimpin parti tersebut juga manusia yang mempunyai nafsu walaupun memakai ketayap dan bergaya ulama.

“Mereka orang politik yang mahu kuasa. Apa saja yang memungkinkan mereka mendapat kuasa, walaupun putar belit, mereka akan buat.

“Misalnya, apabila pemimpin parti itu kata Islam sedang terancam, itu kata dia. Tak semestinya betul,” ujarnya dipetik dari Facebook beliau hari ini.

Pemimpin tersebut berkata sedemikian, jelas Ustaz Zolkharnain, dengan niat supaya orang ramai membenci kerajaan sedia ada kononnya tidak menjaga Islam.

“Tujuannya ialah, apabila orang benci kerajaan sedia ada, dia harap orang ramai akan undi dia dan parti dia dalam PRU akan datang,” katanya.

Sehubungan itu, Ustaz Zolkharnain mencadangkan lebih elok parti tersebut berterus-terang mahukan kuasa dan jawatan.

“Daripada pusing-pusing lelong agama sana-sini, akibatnya agama rosak, negara rosak, bahkan cita-cita kamu pun tak tercapai, lebih baik cakap terus-terang,” tambahnya lagi.