Malaysia Dateline

‘Nak projek kena jumpa orang politik sebab akan diperkenal kepada menteri’

Jumpa orang politik dan menteri untuk berunding berapa jumlah habuan daripada peruntukan projek kerajaan antara contoh bagaimana jenayah rasuah berlaku di negara ini.

Segala bentuk penyelewengan dan salah guna kuasa serta kemungkaran yang berlaku adalah kerana sistemik, tegas Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Menurutnya, pelbagai kerosakan dari sudut kepimpinan politik dan ketidapercayaan orang ramai kepada institusi politik kerana nilai amanah dan berintegriti tidak dipasakkan.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata, penyelewengan dan eksploitasi yang berlaku terhadap sistem di negara ini menyumbang kepada masalah sebenar kegagalan kepimpinan beramanah dan berintegriti.

'Nak projek kena jumpa orang politik sebab akan diperkenal kepada menteri'
PH sepanjang 22 bulan menjadi kerajaan berusaha membudayakan nilai amanah dan berintegriti.

“Dalam konteks politik, kita diingatkan agar menjaga kepentingan orang ramai. Hanya kuasa politik saja yang mampu berbuat demikian.

“Tidak ada dalam sejarah dunia, orang yang memerintah tidak ada kuasa politik. Tapi apakah nilai itu dapat dilaksanakan dalam sistem yang ada?

“Konsep itu perlu diterjemah dalam perlembagaan dan sistem yang ada. Jadi, apa masalah kita sebenarnya?

“Penyelewengan dan eksploitasi terhadap sistem itu sendiri menyebabkan keruntuhan dan berkait-kait sampai kepada rakyat yang menerimanya.

“Saya ambil contoh, nak projek kena jumpa orang politik sebab orang politik akan perkenalkan kepada menteri. Duduk bincang dulu, berapa dia nak dapat.

“Padahal, projek itu mungkin dalam RM10 juta. Tapi dalam RM10 juta peruntukan negara untuk melaksanakan projek itu, kerana apabila ada rundingan-rundingan tertentu, mungkin apabila siap projek itu, nilainya tidak sampai RM10 juta.

“Sebabnya, dah ‘makan’ (ambil) sana, ‘makan’ sini dan bayar sana sini. Peruntukan RM10 juta yang diluluskan dalam belanjawan negara itu akhirnya apabila siap prohek itu mungkin hanya RM8 juta atau mungkin lebih teruk setengah juta,” jelasnya.

Mujahid berkata demikian dalam slot Bicara Semasa (Siri 38) menerusi saluran JOMchannel malam tadi.

Mengulas lanjut, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) itu berkata, amalan ‘suap’ sudah menjadi sistemik akibat tidak amanah dan tidak berintegriti.

“Kontraktor kata, susahlah (kalau tak suap), tak dapat projek. Perkara sudah terpaksa kena terima. Kalau tidak, macam mana nak hidup. Suap sana, suap sini. Kalau tidak, kontraktor tidak dapat projek,” ujarnya.

Dalam masa sama, Mujahid turut menyelar sikap tidak amanah pihak berkaitan apabila menjadikan tugas yang disandang sebagai habuan untuk mendapat kelebihan-kelebihan tertentu.

Baca juga: https://malaysiadateline.com/ph-gelombang-tolak-bn-mesti-belajar-dari-kesilapan-bodoh-semasa-prn-johor/

Baca juga: https://themalaysialife.com/wanita-beratur-dua-jam-nak-buat-swab-test-tapi-tersilap-beratur-gerai-ayam-panggang/