Nalla akui tuduhan terima RM60 juta duit judi palsu, Anwar tarik balik saman

Nalla akui tuduhan terima RM60 juta duit judi palsu, Anwar tarik balik saman

Senator Datuk S Nallakaruppan akhirnya menafikan pernah menuduh mantan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima RM60 juta dari syarikat perjudian Magnum Corporation Bhd.

Presiden Parti Bersatu India Malaysia itu sebaliknya mendakwa Mingguan Malaysia dan Sinar Harian memutar-belitkan kenyataan beliau.

“Saya tidak buat kenyataan itu ia diputarbelitkan,” kata Nallakaruppan ketika disoal Anwar pada perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Anwar yang mewakili dirinya pada perbicaraan itu kemudiannya meminta penangguhan sementara.

Seorang reformis sempat berselfie bersama peguam Muhammad Shafee sambil diperhatikan Nallakaruppan.

Hakim Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab kemudian berkata, jika Nallakaruppan berkata demikian sebelum ini, maka tidak ada keperluan untuk meneruskan perbicaraan.

“Saya akan bincang dengan peguam defendan,” katanya.

Dalam perbicaraan saman fitnah berjumlah RM100 juta itu, Nallakaruppan diwakili peguam kanan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Terdahulu, ketika disoal Anwar, Nallakaruppan berkata 30 anggota polis menyerbu rumahnya pada 31 Julai 1998 dan merampas pelbagai barangan.

Menjawab soalan Anwar Nallakaruppan berkata serbuan itu dilakukan pihak polis bagi mencari bukti maklumat yang diperolehi daripada Anwar yang pada ketika itu menjawat Timbalan Perdana Menteri untuk diberikan kepada kerajaan asing.

Beliau seterusnya mengakui bahawa dakwaan yang dilemparkan terhadap Anwar tidak betul.

Kerana enggan mengakui tuduhan itu, Nallakaruppan juga mendakwa ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama 38 hari.

Ketika sidang mahkamah disambung semula di sebelah petang, Anwar memaklumkan menarik balik saman fitnah terhadap Nallakaruppan.

Beliau bersetuju untuk menarik dakwaan itu selepas Nallakaruppan menafikan membuat kenyataan kontroversi itu dan mendakwa bahawa media memutar-belitkan kenyataannya, lapor Malaysiakini.

Anwar gembira kerana dakwaan bahawa dirinya adalah pengkhianat seperti afidavit oleh Penolong Pesuruhjaya Kanan Polis, Tan Sri Musa Hassan telah dinafikan oleh Nallakaruppan.

Penyelesaian itu direkodkan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab.

Anwar dibawa balik ke penjara Sungai Buloh setelah perbicaraan berakhir. Foto keadilandaily.com

 

TAGS