“Bey sabor Bey..”, sejak berbulan yang lalu terngiang-ngiang lirik lagu ini di halwa telinga. Melodi dan liriknya yang ‘catchy’ buat orang ramai senang menyanyikan lagu dari negeri che siti wan kembang ini.
Lagu yang bertajuk “Cinta Setandan Pisang” ini dinyayikan oleh Eda Ezrin yang berduet dengan Den Manjo. Lagu yang diciptakan sepenuhnya oleh Eddie Hamid ini mendapat sambutan baik dan telah diputarkan di stesen-stesen radio nasional seperti Era FM, Suria FM, dan Nasional FM.
Rekod terkini, lagu viral Bey Sobar Bey sudah mendapat 23 juta tontonan dan 90 ribu tanda suka di YouTube Channel Kijang Music sejak 10 bulan telah dimuat naik.
Lantaran lagu yang tular ini, penyanyi lagu Eda Ezrin turut terkena tempias popular. Nama Eda Ezrin tiba-tiba menjadi sebutan hangat apabila lagu ini mula keluar di corong-corong radio.
Siapa Eda Ezrin? Beliau dilahirkan pada 11 Mei 1995 di kampung Perol Kota Bharu, Kelantan. Beliau merupakan seorang penyanyi dikir barat moden dan selebriti terkenal di Pantai Timur Malaysia.
Penyanyi ini sudah pun berkahwin dan mempunyai anak.
Selain menyanyi, beliau dikhabarkan mempunyai perniagaan restoran yang diusahakan sendiri di Kota Bharu, iaitu Eda Ezrin Station.
Eda Ezrin memulakan kerjaya nyanyiannya sejak berusia 12 tahun dan telah menghasilkan beberapa lagu dalam loghat Kelantan.
Beliau juga aktif di platform media sosial seperti TikTok, dengan akaun @edaezrin99 yang mempunyai lebih 692,900 pengikut dan 8.3 juta tanda suka.
Walaupun terdapat peraturan di Kelantan yang melarang penyanyi wanita membuat persembahan di depan khalayak umum, Eda menyatakan bahawa beliau tidak disekat untuk berkarya dan masih boleh meneruskan kerjaya seni melalui platform media sosial.
Selain itu, Eda Ezrin juga aktif mempromosikan produk usahawan tempatan dan membuat persembahan di luar Kelantan. Beliau berharap agar lagu-lagu dalam loghat Kelantan dapat diterima di peringkat arus perdana dan mendapat tempat di hati pendengar muzik seluruh negara.
baca: Ekonomi makin rancak, Indonesia label Malaysia ada harta karun RM2.94 trillion