Pelakon dan ahli perniagaan sensasi, Boy Iman mengaku langsung tidak terjejas dengan kes penipuan yang sedang berjalan di mahkamah ketika ini.
Malah, kontroversi yang melanda pemilik nama penuh Noruliman A. Rahman itu membuatkan dirinya semakin popular dan dikenali ramai.
Bayangkan, usahawan yang mempunyai rekod buruk itu turut menerima tawaran baharu untuk menjalankan kerjasama dalam perniagaan.
“Bila berlaku kontoversi ini (kes mahkamah) saya nampak nama kita makin popularlah. Semakin ramai orang tegur dan belanja makan.
“Ada yang ajak ambil gambar dan tawarkan untuk buat perniagaan bersama. Dekat Malaysia ini, kalau ada kontroversi lagilah naik pengikut.
“Itu antara kesan-kesannya. Orang kata seburuk-buruk publisiti adalah sebaik-baik publisiti,” jelas Boy Iman memetik Mstar.
Pada 25 April lalu, Boy Iman telah didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur kerana menipu seorang wanita berhubung penganjuran sebuah festival.
Tular di media sosial, kes ini berkaitan dengan penjualan atau penyewaan tapak perniagaan (booth) sempena festival Horay X Fest Raya.
Memperdaya mangsa untuk menyerahkan RM1,500, Boy Iman dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.
Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Diminta untuk menyerahkan pasport, Boy Iman bersama empat individu lain kemudian dibenarkan mahkamah untuk diikat jamin sebanyak RM3,000.
Terbaharu, pelakon yang berusia 49 tahun itu dilaporkan sedang menyiapkan representasi bagi menggugurkan pertuduhan tersebut.
Peguam yang mewakili Boy Iman, Johan Ariff Salim Khan memaklumkan bahawa mahkamah telah menetapkan 28 Ogos ini untuk sebutan kes.
Baca juga: Lahirkan anak bibir sumbing, wanita ini dihadiahkan lafaz cerai dari suami