Seorang pengedar filem warga Malaysia didakwa mempunyai kaitan dengan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa yang berpangkalan di India.
Difahamkan, pengedar filem berkenaan masih menetap di negara ini namun memiliki hubungan yang sangat rapat dengan selebriti terutamanya dari industri filem Tamil.
Tular di media sosial, dakwaan itu dibuat oleh A Shankar selaku wartawan kanan dan pemilik media Savukku dalam sesi wawancara di laman Youtube, lapor Malaysia Kini.
Perkara berlaku selepas penerbit filem Tamil iaitu Jaffer Sadin ditahan oleh Lembaga Kawalan Narkotik (NCB) India pada Sabtu lalu atas dakwaan penyeludupan dadah.
“Dalam kenyataan media, NCB mengaitkan penyeludupan ini dengan Malaysia, New Zealand dan Australia. Kerana mereka (NCB) kata Malaysia, saya beri satu petunjuk.
“Bos kepada Jaffer berada di Malaysia. Dia ialah seorang yang sangat berpengaruh dalam industri filem India. Dia yang mengawal Jaffer. Warga Malaysia ini mempunyai hubungan rapat dengan banyak selebriti industri filem Tamil.
“Saya pasti jika dia ditahan, lebih banyak pemain dari industri filem Tamil akan terlibat,” kata Shankar dengan yakin dalam wawancara tersebut memetik laporan Malaysia Kini.
Walau bagaimanapun, Shankar yang cukup dikenali dalam bidang kewartawanan penyiasatan itu enggan mendedahkan indentiti sebenar pengedar filem tersebut.
Dalam pada itu, NCB mendedahkan bahawa sindiket tersebut telah menghantar 45 konsainan yang mengandungi kira-kira 3,500 kilogram (kg) pseudoephedrine ke pelbagai negara sejak tiga tahun lalu.
Jaffer yang didakwa mempunyai kaitan dengan penyeludupan dadah antarabangsa bernilai RM1.13 bilion itu turut dipercayai menjadi pengendali sindiket berkenaan.
Dakwa NCB, Jaffer mengakui telah memperoleh sejumlah besar wang dari operasi haramnya itu dan melabur dalam perniagaan yang sah dalam industri seperti filem, pembinaan dan hospitaliti.
Kegiatan tersebut terbongkar selepas NCB bekerjasama dengan pihak berkuasa di New Zealand dan Australia susulan menerima maklumat dari Kastam New Zealand dan polis Australia.
Maklumat berkenaan membabitkan pendedahan mengenai sejumlah besar pseudoephedrine yang sedang dihantar ke kedua-dua buah negara terbabit daripada India.
Baca juga: Jutawan ini dakwa kehidupan orang kaya ‘indah khabar dari rupa’, lebih rela jadi rakyat marhaen