Malaysia Dateline

Nama rasmi PM kini Mahiaddin Md Yasin bukan lagi Muhyiddin Yassin

Nama rasmi Perdana Menteri Malaysia kini Tan Sri Mahiaddin Md Yasin, kata memo rasmi yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Dr Marzuki Mohamad.

Memo yang bertarikh 3 Jun 2021 itu mengarahkan semua urusan surat menyurat dan dokumen rasmi kerajaan akan menggunakan nama rasmi Perdana Menteri iaitu Mahiaddin bukan lagi Muhyiddin Yassin.

Memo itu ditujukan Marzuki kepada semua pegawai dan kakitangan Pejabat Perdana Menteri.

“Susulan pandangan Jabatan Peguam Negara, dimaklumkan penggunaan nama rasmi perdana menteri adalah seperti berikut: Mahiaddin bin Md Yasin atau Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin bin Haji Md Yasin.

“Sehubungan itu, semua urusan surat menyurat dan dokumen rasmi kerajaan yang memerlukan penggunaan dan tandatangan atas nama Perdana Menteri hendaklah menggunakan nama rasmi Perdana Menteri seperti di atas.

Gambaran kartunis Zunar tentang nama sebenar Muhyiddin.

“Arahan ini berkuat kuasa serta merta,” menurut memo yang mula tular mulai semalam itu namun hanya disahkan hari ini.

Sebelum ini, iaitu pada 2 April lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam membatalkan satu perintah penahanan yang ditandatangani Muhyiddin kerana tidak menggunakan nama seperti dalam kad pengenalannya.

Bagaimanapun, Muhyiddin menggunakan nama sebenarnya dalam kesemua empat proklamasi darurat.