Malaysia Dateline

‘Nama saya disebut’, Shahidan bakal buat laporan polis

Pengerusi Majlis Kelab Penyokong Kerajaan Barisan (PNBBC), Datuk Seri Shahidan Kassim bakal membuat laporan polis berhubung rakaman perbualan telefon mirip suara Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tular di media, sejak 6 April lalu.

Menurutnya, polis turut akan diminta menjalankan siasatan mengenai kesahihan rakaman audio yang didakwa antara Presiden Umno dan Presiden PKR itu.

Beliau juga meminta pihak lain membuat laporan polis supaya pihak berkuasa dapat menyiasat dan memutuskan kesahihan perbualan telefon berkenaan.

“Biarpun Zahid dan Anwar sudah menafikan perbualan berkenaan yang dikatakan berlaku selepas perhimpunan agung Umno baru-baru ini, memberikan gambaran bahawa mereka bekerjasama.

“Dalam audio yang didakwa antara presiden saya dan seseorang dari PKR, nama saya disebut. Saya dikatakan telah dicemuh semasa ucapan saya (di Perhimpunan Agung Umno).

“Zahid mengatakan audio itu palsu tetapi nama saya disebut. Tidak salah bagi sesetengah orang untuk mencemuh saya.

“Mungkin kerana saya bukan penceramah yang baik, tetapi saya ingin tahu apakah perbuatan mencemuh terhadap saya itu dirancang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, Shahidan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis sebelum ini dikatakan menentang tindakan Zahid untuk tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Semalam, Anwar menafikan terbabit dalam audio tular perbualan dengan Zahid bahkan turut mendakwa memang ada individu yang mempunyai suara mirip dengannya.

Sementara itu, Zahid juga menafikan terdapat perbualan antara dia dengan Anwar serta menyifatkan rakaman audio itu sebagai percatuan politik yang jijik.

Mengulas lanjut, Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau itu berkata, laporan polis itu bagi membersihkan namanya dan Zahid.

Dalam pada itu, beliau juga ada memetik isu sepucuk surat, yang didakwa dikirim kepada Yang di-Pertuan Agong oleh Zahid dan Datuk Seri Najib Razak, yang menyatakan bahawa mereka dan beberapa Ahli Parlimen Umno menarik sokongan mereka terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Surat itu dikatakan palsu tetapi tidak ada laporan polis yang dibuat. Saya setuju bahawa laporan polis harus dibuat kali ini kerana Presiden mengatakan rakaman audio itu palsu,” kata Shahidan lagi.