Nampak macam biasa, rupanya patung mainan kecil ni boleh cecah RM2.4 juta!

Oleh MAISARAH AISYA

Bagi pemilik koleksi, pastinya teruja apabila mengetahui patung mainan yang dijaga rapi mampu dijual pada harga tinggi.

Namun ini bukanlah untuk semua jenis mainan, ini adalah lebih kepada patung mainan edisi terhad atau usia yang sudah menjangkau puluhan tahun.

Terbaru, sebuah patung mainan menampilkan watak dalam filem sains fiksyen Star Wars dilelong pada harga tertinggi berjumlah AS$525,000 (RM2.4 juta).

Menurut agensi berita United Press International, patung Boba Fett berukuran tinggi 9.5 sentimeter itu kini bergelar mainan vintaj paling mahal dan berharga di dunia.

Firma lelongan Heritage Auctions berkata, mainan tersebut mengalahkan rekod yang dipegang oleh patung Barbie.

Patung mainan kanak-kanak perempuan yang bertatahkan berlian 1 karat telah dilelong pada harga AS$302,000 (RM1.4 juta) pada 2010.

Patung Boba Fett itu adalah satu daripada dua contoh yang dihasilkan untuk barisan patung mainan Star Wars keluaran syarikat Kenner dalam tahun 1970-an.

Kondisinya yang masih dalam keadaan baik menyebabkan harga lelongan naik dengan sangat tinggi.

“Patung Boba Fett penembak roket suatu masa dahulu menjadi ikon mitos yang diketahui di seluruh dunia meskipun mereka bukan pengumpul memorabilia Star Wars.

“Kami tahu patung ini mempunyai peluang untuk dimasukkan ke dalam buku rekod dunia.

“Kami juga teruja melihat ia menjadi mainan paling berharga di dunia,” kata Naib Presiden Eksekutif Heritage Auctions, President Joe Maddalena.

Baca juga: Sah Kieda Crepe tak buat cerita, polis dah tangkap 4 penjenayah sekali dengan barang kemas RM400K