Malaysia Dateline

Nanas tanaman selingan untuk kawasan Felda

Kementerian Pertanian telah mengenal pasti nanas sebagai tanaman selingan yang boleh ditanam bersama dengan kelapa sawit dan getah dalam usaha kerajaan menambah pendapatan tambahan pengusahanya.

Sehubungan itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, potensi nanas yang dilihat mampu memberikan pulangan lumayan kepada pekebun dan pengusaha menyebabkan nanas dikategorikan sebagai sumber rezeki baharu negara.

Justeru itu, katanya, Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian (Mardi) serta Jabatan Pertanian telah diminta membuat kajian mengenai kesesuaian tanah di kawasan Felda untuk tanaman nanas.

“Kita akan mengkaji  kesesuaian tanah dahulu sebelum memutuskan untuk menanam apa jua tanaman selingan atau ‘cash crop’  yang boleh kita berikan untuk membantu Felda,” katanya kepada pemberita selepas melawat Tuzra Marketing,  pada Isnin.

Buat masa ini, katanya, pihaknya dalam proses mengenal pasti kawasan-kawasan Felda yang terpilih.

“Selepas itu, saya rasa sebelum akhir tahun ini, kita sudah boleh buat beberapa projek perintis di beberapa kawasan Felda yang terpilih.

Menurut beliau, potensi nanas sebagai tanaman selingan juga seiring dengan pasaran untuk meningkatkan keluasan tanaman nanas terutamanya jenis MD2.

Beliau berkata berkata tanaman nanas MD2 disasarkan seluas 5,500 hektar pada tahun hadapan berbanding 2,032 hektar pada 2017.

— BERNAMA