Malaysia Dateline

Nangka madu, sarang walit sedang dibincang untuk dieksport ke China

Selepas kejayaan eksport durian Musang King sejuk beku dan nanas MD2 ke China, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) sedang mengadakan perbincangan dengan China bagi membolehkan nangka madu dan sarang burung walit pula dieksport ke negara itu.

Menterinya Datuk Salahuddin Ayub berkata buat masa ini beberapa prosedur dan protokol eksport seperti mana durian Musang King dan nanas MD2, sedang disiapkan oleh pihak MOA bagi menjayakan hasrat berkenaan.

“Saya telah melihat beberapa potensi seperti durian sejuk beku yang dapat dieskport (ke China) secara sebiji di samping pulp dan pes dan juga nanas MD2 yang dapat tembusi pasaran China dan Timur Tengah.

“Kita dalam usaha memastikan beberapa lagi buah-buahan seperti nangka madu dan sarang burung walit yang sekarang ini masih dalam perbincangan untuk kita dapat eksport,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Tani Johor dan Hari Bertemu Pelanggan MOA Inc negeri Johor di Dataran Pontian, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Tosrin Jarvanthi dan Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Datuk Abdul Malik Abul Kassim.

Salahuddin berkata nangka madu antaranya ditanam secara meluas di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Lanchang, Pahang.

Beliau berkata sarang walit mentah tanpa dibersihkan mampu dijual antara RM3,000 hingga RM4,000 sekilo di pasaran China manakala sarang walit mentah bersih antara RM8,000 hingga RM10,000.

“Kita (MOA) sedang bincang supaya kita boleh eksport lebih banyak sarang burung walit mentah bersih supaya kita boleh pastikan pemain dapat harga yang agak baik. Akhirnya, saya mahu pengusaha tempatan dapat pulangan lumayan,” katanya.

Sementara itu, Salahuddin berkata Johor akan menjadi tuan rumah bagi sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2019.

Beliau berkata sambutan berkenaan yang dijangka dirasmikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu dijadualkan berlangsung pada 25 hingga 29 Nov ini di Padang Angsana Mall Johor Bahru.

— BERNAMA