Nano Retailers – Ini inisiatif kerajaan bantu suri rumah, B40 jana pendapatan

Oleh ARIF ATAN

Demi membantu masyarakat B40 khususnya golongan suri rumah, kerajaan kini sedang mengkaji inisiatif ‘Nano Retailers’ sekali gus berupaya meningkatkan pendapatan dan ekonomi mereka.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, menerusi inisiatif tersebut, ia akan menjadikan golongan berkenaan sebagai peniaga runcit kecil-kecilan yang menjual barangan keperluan harian asas penduduk negara ini.

“Antara barangan asas tersebut seperti beras, gula, tepung, susu, minyak masak, beras dan barangan kering lain.

“Projek perintis ‘Nano Retailers’ akan dimulakan terlebih dahulu dengan menyasarkan golongan sasar sama ada peserta program mahupun pengguna di setiap negeri.

“Nano Retailers’, asalnya inisiatif ini bernama ‘Rezeki Suri’, matlamatnya adalah untuk memberikan peluang kepada suri rumah sepenuh masa meniaga 11 barangan keperluan asas.

“Di samping dapat memberikan mereka pendapatan secara kecil-kecilan, golongan sasar iaitu masyarakat B40 juga boleh membeli barangan keperluan dengan harga murah. Ini merupakan salah satu program yang saya mahu jayakan dalam tempoh 100 hari memasuki pejabat,” katanya.

Salahuddin berkata demikian pada sidang media selepas majlis temu rapat Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup di sebuah hotel di Johor Bahru semalam.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai menambah, rancangan berkenaan telah dibawa ke peringkat kementerian sebagai satu langkah yang sangat praktikal dalam menangani isu kenaikan harga keperluan asas dan juga kesukaran mendapatkan bekalannya.

Baca juga Salahuddin jumpa pemain industri telur ayam, minyak masak paket esok