Malaysia Dateline

NAP 2020 akan gabung teknologi canggih baharu, pacu sektor automotif

Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020 yang dilancarkan hari ini akan menggabungkan tiga elemen teknologi canggih baharu iaitu Kenderaan Generasi Seterusnya (NxGV), Mobiliti sebagai satu Perkhidmatan (MaaS) dan Revolusi Perindustrian 4.0 (Industri 4.0).

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata teknologi kenderaan adalah tumpuan pembangunan yang kritikal bagi pengeluar kereta dunia pada hari ini bagi meningkatkan keselamatan kenderaan serta menjadikan mobiliti lebih pintar dan mesra alam sekitar.

Selain menyelaraskan dengan trend teknologi terkini, beliau berkata, NAP 2020 juga menyasar menambah baik dasar semasa di samping memperkenalkan langkah-langkah baharu yang akan menjadi dasar pembangunan perindustrian holistik, menyediakan kepada keperluan berbeza pelbagai pemegang kepentingan dalam rantaian nilai.

 “Sehubungan itu, NAP 2020 telah menimbang semua kemungkinan elemen dalam bidang penyelidikan dan pembangunan, penyertaan syarikat domestik dalam rantaian bekalan tempatan dan global, aktiviti kejuruteraan, pembangunan kapasiti tenaga kerja tempatan, peningkatan eksport serta insentif pelaburan,” katanya dalam ucap tama beliau pada pelancaran NAP 2020, di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata industri automotif dan sektor berkaitan telah menggunakan khidmat lebih 600,000 tenaga kerja dan menyumbang 4.0 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia.

Menurutnya, ketika ini terdapat lebih 20 kilang pembuatan dan pemasangan di negara ini yang mengeluarkan kenderaan penumpang dan perdagangan serta motorsikal dan skuter.

“Bagi segmen hiliran, terdapat kira-kira 53,000 syarikat selepas pasaran dan lebih 600 pengeluar bahagian-bahagian dan komponen automotif yang terdiri daripada panel kerangka, bahagian-bahagian trim, bahagian-bahagian powertrain, bahagian-bahagian getah dan bahagian-bahagian elektrik dan elektronik.

— BERNAMA