Naratif baru perkauman tidak terhad kepada orang Melayu, kata Anwar

Naratif baru perkauman tidak terhad kepada orang Melayu, kata Anwar

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat naratif baru perkauman yang membelenggu negara ini tidak terhad kepada orang Melayu semata-mata.

Menurutnya, sesetengah pihak menganggap alat perkauman itu hanya dalam kalangan orang Melayu sahaja, walhal secara realitinya tidak begitu.

“Ancaman sekarang ini, ada naratif baru tentang perkauman. Ini bukan soal Melayu sahaja.

“Ada anggap bahawa alat perkauman itu hanya dalam kalangan Melayu. Itu tak benar,” kata Ahli Parlimen Port Dickson tersebut pada sidang media ringkas di Bangi malam tadi.

Terdahulu, beliau berbuka puasa dalam Majlis Iftar Perdana anjuran Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) – Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Alumni Kolej Dar al-Hikmah (KDH).

Anwar berpendapat sentimen perkauman turut wujud dalam kalangan orang India dan Cina bahkan ada ketikanya naratif yang ditonjolkan itu agak melampau.

“(Sebagai contoh) mereka menganggap kalau isu kemiskinan, ia hanya dalam kalangan orang India.

“Kalau mengenai perniagaan, ia (hanya) mengenai ahli perniagaan Cina dan orang Melayu diketepikan,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, beliau berkata naratif tentang isu kemiskinan atau peluang perniagaan perlu membabitkan semua kaum agar memperoleh kesan secara menyeluruh.