Naratif masyarakat terhadap golongan wanita perlu berubah

Naratif masyarakat terhadap golongan wanita perlu berubah

Naratif masyarakat terhadap golongan wanita perlu berubah mengikut zaman, dan perubahan itu dilihat berpotensi menyumbang kepada kejayaan kaum hawa tersebut.

Ketua Wanita AMANAH (AWAN) Nasional, Dr Siti Mariah Mahmud, berkata negara (Malaysia) sudah mencapai usia kemerdekaan yang ke-62 tahun dan banyak kejayaan telah dicatatkan.

“Kadang-kadang stereotaip tentang tugas wanita menghalang golongan ini daripada bergerak ke hadapan (maju) kerana terlalu banyak beban diletakkan di atas bahu seorang wanita.

“Malangnya, peranan kaum wanita tersekat disebabkan tanggungjawab menguruskan rumah tangga. Orang lelaki boleh menjadi hebat dalam kerjaya dan pelbagai bidang, disebabkan sokongan daripada keluarga terutamanya isteri.

“Oleh yang demikian, perkara sama perlu diberikan kepada kaum ini (hawa) tanpa mengabaikan peranan sebagai seorang isteri dan ibu serta tidak mengorbankan kebahagiaan rumah tangga,” katanya ketika ditemui pemberita di Konvensyen AWAN, Negeri Selangor Kali Ke-3, di Bangi Golf Resort, hari ini.

Konvensyen yang bertajuk ‘Wanita Arkitek Kepimpinan Malaysia Baharu’ itu dirasmikan oleh Pengerusi AMANAH Negeri Selangor, Ir Izham Hashim yang turut dihadiri Ketua AWAN Selangor, Rawiyiah Zakaria.

Hasrat kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk memastikan 30 peratus wanita dalam saf kepimpinan negara membuktikan kerajaan kini lebih responsif gender dalam usaha untuk mengangkat peranan wanita bagi mereka bentuk gaya kepimpinan yang diperlukan Malaysia Baharu.

AWAN komited untuk memainkan peranan bagi merealisasikan sasaran 30 peratus yang ditetapkan berpaksikan tunjang kualiti kepimpinan menurut al-Quran iaitu Quwwah (meliputi aspek daya fikir, kemahiran kompetensi dalam melaksanakan tanggungjawab dan portfolio yang digalas.