Naratif politik Islam semakin agresif, komunikasi kerajaan perlu dipertingkat

Oleh Nasuha Rahman

Pertembungan politik dikalangan orang Islam dilihat semakin ‘tajam’ dan mencabar sehingga memperlihatkan Umat Islam terus bertelagah, berseteru dan berbunuhan atas nama agama.

Dalam pembentangan usul yang dibawa Perwakilan AMANAH Melaka, Jamzuri Ardani menyuarakan punca besar pertelagahan antara umat Islam oleh kerana sikap keras dan ketaksuban beberapa pihak yang akhirnya merobek nilai ukhwah.

“Punca besar juga kerana kurangnya sifat toleransi antara satu sama lain yang didorong dengan sikap kejahilan serta manipulasi pemimpin yang menggunakan wajah agama untuk kepentingan peribadi.

“Kita juga melihat bibit destruktif mula mengakar umbi dalam masyarakat. Mereka tak dapat membezakan urusan akidah dan siasah, sehingga memilih untuk menuduh mereka yang memiliki jalan politik berbeza sebagai telah menggadaikan akidah Islam.

“Pemimpin politik berbicara dan memfatwakan seolah-olah semuanya hukum yang tak boleh dicabar. Lebih menyedihkan, masyarakat kita terutamanya tanpa malu menjuarai budaya fitnah dikalangan kita,” katanya dalam perbahasan usul semasa Konvensyen AMANAH Nasional, di Pusat Konvensyen (IDCC) Shah Alam hari ini.

Justeru, bagi menghadapi cabaran tersebut, Melaka memanjangkan harapan dan cadangan agar AMANAH membawa naratif politik yang lebih segar dengan kepintaran menggerakkan media kerajaan secara berkesan.

Jelasnya, ini kerana AMANAH membawa politik yang baru dan masih sukar diterima oleh golongan tradisional muslim di luar bandar.

“Elemen kefasihan berbicara adalah penting dalam konteks dunia hari ini. Saya merasakan perlunya Media Oren diperkasa untuk memainkan peranan naratif perjuangan parti yang dapat diakar umbikan secara berkesan.

“Ahli ahli komponen parti Pakatan Harapan perlu tegas menolak perkauman, fitnah dan bohong serta menolak supremasi kaum ke atas kaum,” ujarnya.