Malaysia Dateline

Naratif senario 13 Oktober

Ramai sudah tak sabar nak tunggu Selasa 13 Oktober 2020. Ramai juga yang amat teruja kerana bagi mereka Selasa nanti kerajaan Malaysia sedia ada pimpinan Muhyiddin akan jatuh dan yang akan menggantikannya ialah Anwar Ibrahim (AI).

Aku faham keterujaan mereka kerana mereka ini adalah para pentaksub AI yang bagi mereka hanya AI sahaja yang layak menjadi Perdana Menteri (PM) Malaysia, hanya AI sahaja yang berkebolehan dan mampu mentadbir Malaysia dengan baik memenuhi aspirasi rakyat Malaysia. Habis seluruh rakyat Malaysia dipajakkan kepada AI. AI itu seorang pemimpin yang mempunyai sifat qawiy dan amin.

Aku nak bawa beberapa senario yang mungkin boleh berlaku untuk sama-sama kita fikirkan sebelum terlebih lajak dari laju dalam keterujaan.

1) Adakah Muhyiddin sudah hilang sokongan majoriti.

AI semasa mengumumkan bahawa dia telah beroleh sokongan yang “strong, formidable and convincing” pada Selasa, 23 September 2020 meminta Muhyiddin melepaskan jawatan atas hujah bahawa sokongan yang diberikan kepada Muhyiddin oleh Ahli-Ahli Parlimen (AP) sekarang sudah beralih kepada AI. Walau bagaimana pun AI gagal membuktikan sokongan tersebut. Justeru Muhyiddin kekal sebagai PM.

Semua maklum majoriti yang ada pada Muhyiddin amat tipis. Blok Pembangkang yang terdiri daripada Pakatan Harapan (PH) dan Tun Mahathir (TM) Bersama 5 AP bebas beserta WARISAN mempunyai 108 AP.

Blok Kerajaan hanya mempunyai 113 dengan kelebihan hanya 5 kerusi. Jika terdapat 3 orang dari kalangan AP di Blok Kerajaan menarik sokongan kepada Muhyiddin, beliau sudah kehilangan majoriti, tetapi sekarang, walau pun AI mengumumkan beliau mempunyai sokongan yang “strong, formidable and convincing”, perkara tersebut tidak berlaku kerana tiada mana-mana AP yang menarik sokongan terhadap Muhyiddin dan menyatakan sokongan kepada AI.

2) Selasa, 13 Oktober 2020

AI mengumumkan melalui kenyataan rasmi dari Pejabat Anwar Ibrahim, bukan melalui Pejabat Presiden KeADILan atau melalui Setiausaha Agung KeADILan atau Pejabat Presiden PH bahawa beliau telah diperkenan mengadap oleh Ke Bawah Duli Tuanku Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong (YDPA) pada Selasa 13 Oktober 2020. Kenyataan tersebut tidak menyatakan waktu perkenan sembah mengadap. Pukul berapa? Tiada siapa yang tahu tetapi aku rasa di sebelah petang lebih kurang jam 4 petang.

Kenyataan tersebut menyebutkan bahawa beliau akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah sokongan majoriti AP yang kukuh dan meyakinkan seperti yang diumumkan sebelum ini kepada ke Bawah Duli Tuanku. Tiada siapa yang tahu isi keterangan tersebut melainkan AI dan hulubalang-hulubalang yang paling rapat dengan beliau.

Sehingga tulisan ini ditulis, sudah ada beberapa AP dari Blok Umno yang menafikan sokongan malah ada yang membuat laporan polis. Masing-masing keliru berkaitan sokongan yang diperolehi AI.

Di Istana pada Selasa nanti, bagi aku AI mempunyai dua (2) kaedah untuk membuktikan sokongan yang kukuh dan meyakinkan yang didakwa beliau.

a) Surat dari Ketua Whip

Ketua-Ketua Whip AP dari Umno, GPS, PAS dan PH (Amanah, DAP, KeADILan) diberikan kepada AI bahawa semua AP dari Umno, GPS, PAS dan PH bersetuju memberikan sokongan kepada AI. Surat mungkin dikeluarkan oleh Ketua Parti atau Setiausaha Agung Parti mewakili semua AP.

Umno mungkin daripada Zahid Hamidi, PAS daripada Hj Hadi Awang, GPS daripada Ketua Whip Wan Junaidi atau Fadzilah dan PH daripada Mohd Sabu, Lim Guang Eng dan AI sendiri.

Jika sekadar surat pengesahan sokongan daripada parti, ianya bukan sesuatu yang kukuh dan meyakinkan.

b) Surat Akuan Berkanun (SD)

AI mungkin juga mengepilkan SD setiap AP yang menyokong beliau untuk dipersembahkan kepada YDPA. Ini boleh meyakinkan tetapi masih boleh dipertikai atau perlukan pembuktian yang kukuh. Adakah pihak yang membuat SD itu membuat dengan suka rela dan suci hati atau mempunyai agenda tertentu atau pada Selasa, SD tersebut sudah tidak terpakai kerana tuan tubuh sudah berubah fikiran?

Sekali lagi, SD tidak boleh dijadikan bukti yang kukuh begitu sahaja.

3) Apa yang YDPA boleh lakukan?

Oleh kerana AI telah mendakwa sokongan terhadap Muhyiddin telah hilang dan beralih kepada beliau, YDPA hendaklah menjalankan kuasa budibicara Baginda yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan bagi menentukan perkara tersebut.

Perkara 43 (2)(a) memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu;

a) Panggil Mengadap.

Baginda boleh menitahkan semua 221 AP untuk mengadap di Istana Negara menyatakan kepada siapa sokongan diberikan.

Ini berlaku sebelum ini sehingga Tuanku memutuskan Muhyiddin mempunyai sokongan majoriti lalu memperkenan Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai PM ke-8.

Aku merasakan dalam suasana sekarang, pilihan ini tidak akan digunakan oleh YDPA. Ke Bawah Duli Tuanku seperti yang kita sedia maklum baru sahaja keluar dari kegeringan. Risiko memanggil AP ke Istana beramai-ramai sebolehnya dielakkan.

b) Sidang Khas Dewan Rakyat

Tuanku boleh menitahkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dalam keadaan masih belum terbukti beliau hilang sokongan untuk memanggil sidang khas Dewan Rakyat untuk menentukan majoriti.

Dewan Rakyat dijadualkan mula bersidang pada 2 November 2020 tetapi boleh diawalkan atas alasan yang munasabah.

Peraturan Mesyuarat 11 (3) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat memperuntukkan bahawa pada masa Majlis dalam tangguhan jika Perdana Menteri memaklumkan kepada Tuan Yang di-Pertua iaitu bagi faedah orang ramai mustahak Majlis mengadakan mesyuarat dahulu daripada tarikh yang telah ditetapkan, maka Tuan Yang diPertua hendaklah dengan serta-merta mengeluarkan pemberitahu menyatakan berapa hari bulan hendak diadakan mesyuarat itu dan Majlis hendaklah mengadakan mesyuarat pada masa yang disebutkan dalam pemberitahuan itu. Urusan-urusan bagi hari itu hendaklah ditetapkan oleh Perdana Menteri dan pemberitahuan berkenaan dengan urusan itu hendaklah dihantar kepada ahli-ahli tidak lewat daripada masa hendak diadakan mesyuarat itu.

Peruntukkan Peraturan Mesyuarat 11 (3) jelas bahawa hanya PM boleh memanggil siding khas ketika Majlis dalam tangguhan. Sekarang dari Selasa 13 Oktober 2020 sehingga 2 November 2020 adalah masa Majlis dalam tangguhan, maka hanya PM boleh meminta Yang di-Pertua Dewan memanggil sidang.

Tuanku boleh menitahkan PM (Muhyiddin) meminta Speaker Dewan memanggil sidang khas Dewan sebelum 2 November 2020 sebolehnya seawal mungkin bagi menentukan majoriti sokongan.

Di Dewan Rakyat, mana-mana Ahli Dewan boleh membuat usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri. Proses pengundian atau pemilihan atau pernyataan sokongan ini boleh dilihat dan disaksikan oleh seluruh rakyat Malaysia secara langsung di kaca tv mahu pun media social. Ia tidak dilakukan secara rahsia di balik tembok Istana Negara. Ini akan menjadi lebih terbuka dan telus. Setiap Ahli Dewan boleh dengan suka rela dan suci hati menyatakan sokongan atau tidak kepada PM di dalam Dewan.

Jika dalam proses ini, sokongan kepada Muhyiddin terbukti tidak ada, maka Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan akan mengambil tempat.

Perkara 43 (4) memperuntukkan bahawa jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Muhyiddin jika mempunyai harga diri, setelah gagal membuktikan sokongan di Dewan Rakyat, keluar Dewan dan mengumumkan perletakan jawatan sebagai Perdana Menteri atau beliau boleh mohon mengadap meminta Parlimen dibubarkan.

Ke Bawah Duli Tuanku ketika ini mengambilkira situasi negara yang dilanda pandemic Covid19 dan iklim ekonomi yang tidak menentu, diyakini akan menolak permohonan pembubaran Parlimen. Maka Muhyiddin telah menjadi sejarah.

Seterusnya seorang Ahli Dewan perlu mengusulkan di Dewan Rakyat, siapa di kalangan Ahli Dewan yang dirasakan mampu mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan. Pandan atau Permatang Pauh atau Sungai Petani boleh mengusul Port Dickson manakala ahli Dewan yang lain juga boleh mengusulkan seorang Ahli lain untuk mendapatkan sokongan.

Proses menyatakan sokongan kepada seorang Ahli Dewan dilakukan juga di Dewan Rakyat. Hasil pemilihan dipersembahkan kepada Ke Bawah Duli Tuanku untuk diperkenan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Baru.

Bagaimana jika Tuanku menitahkan Muhyiddin meletakkan jawatan setelah Anwar membuktikan sokongan di Istana pada Selasa?

Jika Tuanku berpuashati pada hemat Tuanku bahawa Muhyiddin kehilangan sokongan majoriti, Tuanku tetap boleh menitahkan Dewan Rakyat melakukan proses menyatakan sokongan kepada siapa bakal diangkat sebagai PM selepas Muhyiddin.

Peraturan Mesyuarat 11 (3) menyatakan hanya Perdana Menteri boleh memanggil sidang khas, tetapi dalam keadaan tiada Perdana Menteri, YDPA boleh menggunakan kuasa eksekutif Tuanku di bawah Perkara 55 (1) Perlembagaan Persekutuan. Perkara 55 (1) memperuntukkan bahawa Baginda YDPA hendaklah memanggil Parlimen dari semasa ke semasa dan tidak boleh membiarkan enam bulan berlalu antara persidangan yang akhir dalam satu penggal dengan tarikh yang ditetapkan untuk mesyuarat pertamanya dalam penggal yang berikutnya.

YDPA sebagai Ketua Parlimen seperti yang diperuntukkan oleh Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan boleh menggunakan kuasa menitahkan Speaker Dewan memanggil sidang khas.

Proses sama akan berlaku apabila Dewan bersidang di mana usul undi tidak percaya kepada Muhyiddin dan usul undi percaya kepada siapa akan berlaku di dalam Dewan Rakyat secara terbuka.

Sama-sama kita nantikan apa yang akan berlaku pada Selasa 13 Oktober 2020 dan hari-hari berikutnya. Jangan cepat sangat seronok dan bersorak.

Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang yang menjadi teras Rukunegara akan diperteguhkan.

Kebijaksanaa Ke Bawah Duli Tuanku Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Eksekutif negara akan terserlah.

Inilah bukti bahawa kedudukan Raja-Raja Melayu tetap dijamin, dijaga dan diangkat oleh kita atas teras Perlembagaan Persekutuan yang dijunjung.