Nasharudin dipanggil ke pejabat SPRM

Nasharudin dipanggil ke pejabat SPRM
Nasharudin bercakap dengan media selepas memberikan keterangan kepada SPRM di Putrajaya.

Bekas Timbalan Presiden PAS, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa hadir di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya pagi ini, dipercayai bagi memberi keterangan berhubung dakwaan beberapa pemimpin Pas menerima wang dari Umno.

Antaranya dakwaan oleh Sarawak Report bahawa Pas menerima wang RM90 juta dari Umno yang dikatakan merupakan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Nasharudin berkata, penyata kewangan dan akaun milik peribadinya serta Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (YGMM) yang diterajuinya sebelum ini adalah antara bukti bagi menyokong keterangannya kepada SPRM berhubung kes itu.

Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz dipanggil memberikan keterangan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kota Bharu juga pagi tadi.

Beliau dilihat masuk ke pajabat itu kira-kira jam 10.20 pagi dan keluar sebelum waktu solat Jumaat dipercayai memberikan keterangan berkaitan dengan audio ucapan beliau yang mengaku menerima duit yang tular sebelum ini.

Baru-baru ini, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang menarik balik samannya ke atas Sarawak Report dalam satu penyelesaian di luar mahkamah.

Sebelum ini, Naib Presiden AMANAH, Husam Musa mendakwa melihat slip bayaran sebuah bank yang mwenunjukkan pembayaran dibuat oleh wakil Umno kepada sebuah badan yang dikawal oleh Nasharudin Mat Isa.

Dakwaan itu dibuat dalam satu majlis ceramah di Kelantan sebelum pilihan raya umum lalu.

Ia bukan akaun milik peribadinya serta Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (YGMM) yang diterajuinya sebelum ini.

Bekas timbalan presiden Pas itu adalah antara tokoh Pas yang berusaha mendekatkan Pas dengan umno.

Pada 2017, Rafizi Ramli yang ketika itu Ahli Parlimen Pandan membuat akuan bersumpah mendakwa Nasharudin pernah menerima dana berkait 1MDB.

Nasharudin bagaimanapun menafikan dakwaan itu dengan mengatakan ia sebagai tidak berasas, selain mendakwa ia satu fitnah terhadap beliau dan PAS.

Walaupun Nasharudin membuat kenyataan untuk mendakwa RafiZi ekoran dakwaan itu, ia tidak dibuat sehingga sekarang.

Nik Abduh pula dikatakan mengaku menerima wang dari Umno sebagaimana pemimpin Pas yang lain termasuk Hadi.

Audio pengakuan itu tular di media sosial sebelum pilihan raya ke 14 lalu.

Baru-baru ini, seorang ulama muda Pas, Dr Muhammad Atiullah mengaku menjadi salah seorang dari 40 saksi yang masih hidup yang berada dalam majlis pengakuan Nik Abduh itu.