Malaysia Dateline

Nasharudin mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan babitkan rasuah RM4juta

Bekas Timbalan Presiden Pas, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, terhadap 33 pertuduhan pecah Amanah dan pengubahan wang haram membabitkan keseluruhan berjumlah RM4 Juta.

Beliau dituduh melakukan tiga pengubahan wang haram dan 30 kesalahan pecah amanah.

Nasharudin, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan terhadapnya di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Tiga pertuduhan disabit di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613).

Nasharudin didakwa mendepositkan wang ke tiga akaun berasingan antara November hingga Disember 2018 – melalui akaun syarikat miliknya, Wasatiyyah Centre For Peace Sdn Bhd sebanyak RM302,069.60 – untuk Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) melalui dana Kementerian Kewangan.

Bagi kesalahan itu, Nasharudin jika disabitkan kesalahan, boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 Juta ringgit, yang mana lebih tinggi.

Sementara itu, 30 pertuduhan adalah dibawah seksyen 409 Kanun Keseksaan, jika disabit kesalahan boleh dikenakan penjara maksimum 20 tahun, sebatan dan denda.

Kesalahan tersebut membabitkan ketika itu beliau menjawat jawatan Pengerusi Yayasan Nassar yang melakukan transaksi ke beberapa akaun termasuk akaun pribadi antara tahun 2015 hingga 2018 membabitkan keseluruhan jumlah RM3.7 Juta.

Hakim menetapkan ikat jamin sebanyak RM250,000 dan penyerahan pasport perjalanan kepada pihak mahkamah bagi kes pecah Amanah dan RM80,000 bagi kes pengubahan wang haram dengan seorang penjamin.