Malaysia Dateline

Nasi Padang di Kota Bharu

MUHAIMIN SULAM

Salah satu pengaruh yang sangat signifikan dalam memahami politik Melayu Kelantan adalah melalui makanan. Nasi Padang dikenali sebagai nasi Sumatera adalah menu makanan para pejuang Indonesia yang mencari perlindungan di Malaya. Selain membawa budaya makanan mereka juga membawa api perjuangan melawan penjajah.

Api itu terus marak membakar. Lagu ciptaan Saiful Bahri, ‘Semalam di Malaya’ yang dicipta pada 1961 adalah lagu perjuangan. Saiful Bahri mendapat perlindungan semasa pemerintahan Tunku Abdul Rahman kerana pergeseran politik dengan Sukarno.

Beliau menjadi pegawai khas kepada Senu Rahman, Setiausaha Umno. Saiful Bahri kemudiannya bertugas di RTM dan mengembangkan bakat muziknya.

Beliau mencipta lagu ‘Malaysia Berjaya’ yang kekal bersemangat hingga ke hari ini. Saiful Bahri adalah orang Minang. Dato Asri Haji Muda berkahwin dengan Sakinah Jonid, orang Minang. Pidatonya persis Sukarno.

Setiausaha Pas Kelantan semasa Datuk Asri memimpin Pas, Ustaz Salahudin apabila bercakap, dialek Indonesianya tebal. Sama seperti Ustaz Muhamad Perupok yang juga menerima pendidikan di Indonesia.

Ustaz Bunyamin Yaakub, lulusan Universitas Chakro Aminoto. Ramai pemimpin Kelantan ditarbiyyah di Indonesia.

Selepas mereka bermesyuarat di bangunan Pas Kelantan, mereka pekena nasi Padang di kedai makan yang berhampiran pejabat itu. Ini bukan soal kesedapan makanan Indonesia tetapi inilah nilai perjuangan serantau yang makin dilupakan.

Menu daging kerutuk adalah inovasi dari rendang Padang dengan selera lidah Kelantan. Masak lemak otak lembu memang sedap dimakan. Sayang tiada tempe dan tahu goreng.

Saya tetap Jawa yang sentiasa tidak lupa masakan tradisi kami. Ini adalah persoalan identiti. Bukan soal ideologi suku.

Tadi singgah ke kedai Jaafar Rawas, mencari buku tentang ulama-ulama Kelantan. Tiba-tiba teringat Pak Suhail Acheh yang masih misterinya belum selesai. Keras katanya semasa tamrin kami masih terasa.