Malaysia Dateline

Nasi sudah jadi bubur, kerajaan perlu mudahkan bantuan dan sumbangan

Agensi Pengurusan Bencana (NADMA) disifatkan sebagai gagal dan kelihatan seolah-olah tidak berfungsi sama sekali dalam usaha menguruskan bencana banjir yang sedang melanda negara tatkala ini.

Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Perak, Farhash Wafa Salvador, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad perlu bertanggungjawab sepenuhnya kegagalan yang berlaku kerana NADMA merupakan salah sebuah agensi kerajaan dibawah bidang kuasa beliau serta merupakan peneraju yang kebiasaannya mengatur gerakan dan koordinasi segala perancangan ketika menguruskan bencana.

“Walaupun pada hakikatnya Jabatan Metereologi Malaysia telah mengeluarkan amaran awal bahawa hujan lebat yang berterusan akan melanda penduduk di Lembah Klang dan beberapa kawasan lain, namun tiada sebarang usaha kearah kesiapsiagaan yang lebih terperinci dan teratur direncanakan oleh pihak kerajaan.

“Sebahagian besar mangsa banjir di seluruh negara pada ketika ini mengalami kerugian dan kerosakan harta benda yang mungkin di luar jangkaan terutamanya penduduk disekitar Lembah Klang, namun kini ‘nasi telah menjadi bubur’.

” Walaupun kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Selangor telah mengumumkan peruntukan berjumlah RM100 juta serta beberapa bentuk bantuan yang lain bagi mereka yang terjejas, jumlah tersebut pastinya diragui samada mencukupi ataupun tidak bagi menampung segala kerugian besar yang ditanggung,” ujar beliau dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu tegasnya, kerajaan diseru supaya mempermudahkan segala bentuk. bantuan dan sumbangan yang diperuntukan tanpa sistem birokrasi yang menekan rakyat dengan melibatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat, Ketua Komuniti Setempat, Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen, pegawai-pegawai daerah serta beberapa pihak yang lain.