Malaysia Dateline

‘Nasi tangas’ Bersatu dayuskan Umno?

Entah tangkal apa yang digunakan Bersatu, Umno ketika ini kelihatan seperti terlalu mudah mengalah dan memohon maaf. Pantang silap sikit dengan Bersatu, muncullah kenyataan terbuka daripada pemimpin Umno yang meminta maaf.

Memohon maaf memang merupakan amalan terpuji. Dalam ajaran Islam dan budaya kesantunan Melayu, memohon maaf amat dianjurkan selepas melakukan kesilapan. Tetapi memohon maaf sahaja tidak cukup kalau kesilapan yang dibuat terlalu besar atau berbentuk jenayah yang melibatkan kepentingan awam.

Contohnya, jika didapati seseorang melakukan rasuah, tidak cukup untuk dia memohon maaf sahaja. Jenayah itu mesti diputuskan hukuman oleh mahkamah manakala masyarakat pula mesti dididik dan dibudayakan supaya tegas membenci pelaku dan perbuatan jenayah rasuah.

Tetapi di Malaysia, situasi ini sukar dilihat. Perasuah bukan sahaja tidak dibenci malah diangkat sebagai pemimpin dalam organisasi tertentu. Puncanya kerana budaya politik naungan (patronage) berasaskan ‘cash is king’ yang begitu membarah.

Wang tunai sentiasa menjadi pemberat utama dalam menentukan tahap kesetiaan seseorang. Maka, jika seseorang itu terkenal sebagai perasuah sekalipun tetapi kerana dia berduit, maka orang ramai akan tetap tunduk kepadanya.

Di Malaysia ada penjenayah kewangan yang terkenal di seluruh dunia. Buruknya jenayah yang dia lakukan sehingga Malaysia dikenali sebagai negara ‘kleptokrasi’.

Namun, malangnya dia tidak dibenci malah diangkat dan dikenali sebagai bos. Dia bukan sahaja tidak dibenci, bahkan pihak yang mendedahkan jenayah penyelewengan dia pula yang dibenci.

Bagi melawan pendedahan tentang penyelewengan yang dibuat, penjenayah skandal kewangan ini turut menggunakan sentimen sempit untuk mempengaruhi fikiran dan emosi orang ramai supaya tidak mempercayai dakwaan itu.

Salah satu sentimen yang masih berkuasa adalah propaganda kononnya wujud ‘campur tangan asing’ di Malaysia. Taktik licik ini tidak sukar digunakan untuk mempengaruhi orang ramai.

Maka, walaupun Amerika Syarikat (AS) dipandang tinggi dan hormat oleh Malaysia tetapi oleh kerana kuasa besar itu mendedahkan penyelewengan bekas pemimpin negara ini, maka imej AS digubah sebagai sebuah negara musuh yang cuba mencampuri urusan dalaman Malaysia.

Maka di Malaysia, walaupun sering dilaung-laungkan sebagai negara Islam contoh dan menjadi ikutan dunia tetapi anehnya rasuah pula gagal dibudayakan dalam pemikiran masyarakatnya sebagai satu jenayah besar.

Zahid memohon maaf kepada Muhyiddin selaku Pengerusi PN selepas Umno menggulingkan Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak.

Kelangsungan nyawa Umno

Berbalik kepada isu memohon maaf, jika dalam ajaran dan budaya tempatan menganggap itu sebagai perbuatan mulia. Namun, dalam politik, memohon maaf dianggap sebagai satu kelemahan yang boleh menjejaskan kedudukan, kredibiliti, wibawa dan pengaruh sesebuah parti atau seseorang pemimpin.

Sejak kebelakangan ini, amalan memohon maaf mula dilihat telah dibudayakan oleh para pemimpin tertinggi Umno. Malangnya, permohonan maaf itu bukan kepada rakyat Malaysia kerana gagal menentang rasuah atau memajukan bangsa Melayu.

Sebaliknya, permohonan maaf dibuat demi kepentingan peribadi dan memelihara kelangsungan nyawa Umno. Maka, ketika ini walaupun Umno memiliki bilangan ahli Parlimen paling ramai tetapi parti ini dilihat begitu tunduk kepada Bersatu yang dipimpin oleh Muhyiddin Yassin sebagai Presiden.

Dalam segala hal membabitkan hubungan antara Barisan Nasional (BN) yang diketuai Umno dan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Bersatu, BN dilihat lebih mudah mengalah kepada PN. Maka, kelihatan hebatlah PN di mata masyarakat manakala BN pula dianggap seperti dayus.

Secara umumnya, masyarakat di rantau ini menganggap menjadi dayus bukanlah satu pilihan. Sebaliknya, gelaran itu adalah penghinaan yang melampau. Masyarakat Melayu sendiri begitu benci kepada dayus.

Dalam amalan khurafat Melayu, kaedah untuk mendayuskan lelaki atau suami adalah melalui amalan sihir ‘nasi tangas’ atau ‘nasi kangkang’. Perbuatan terkutuk ini diamalkan oleh isteri untuk menundukkan suami supaya tunduk dan patuh kepada arahannya.

Caranya, isteri menanak nasi yang telah dicampurkan dengan bahan-bahan kotor dan terlarang. Kemudian selepas nasi masak, isteri akan mengangkang di atas nasi yang masih berwap itu sambil membaca jampi serapah sebelum dihidangkan untuk santapan suami.

Natijah daripada nasi tangas dimakan, suami yang sebelum ini panas baran, mudah membelasah isteri akan berubah menjadi suami yang tunduk, patuh taat dan takut kepada isteri. Suami akan menjadi bodoh dan isteri akan gunakan kesempatan itu untuk mengarahkannya melakukan segala-gala kerja rumah atau apa sahaja.

Nasi tangas tidak akan menjadi penawar kepada kebahagiaan rumah tangga. Memang suami tidak lagi akan menakutkkan isteri tetapi perubahan sikap itu bukan datang daripada kesedarannya sendiri. Sebaliknya, akibat penangan sihir. Penghujungnya, tiada kebahagiaan yang dicapai seperti digariskan dalam matlamat perkahwinan.

Jika ini dibawa dalam konteks hubungan Umno dan Bersatu kelihatannya seperti tiada perbezaan yang ketara. Umno yang dahulu begitu angkuh dan besar kepala seperti abang besar. Tetapi kini, di mata Bersatu, Umno tidak ubah seperti seekor kucing kurap.

Sebarang kesilapan yang dibuat secara sengaja atau tidak, permohonan maaf dengan pantas akan menyusul.

Inilah yang boleh disaksikan selepas Ahmad Faizal Azumu dijatuhkan sebagai Menteri Besar Perak pada 4 Disember lalu.

Ketika Adun Chenderiang itu digulingkan melalui usul undi percaya yang dibawa oleh Adun Pengkalan Baru, Datuk Abd Manaf Hashim dari Umno, parti itu mula dilihat seperti menguasai situasi politik dan kedudukan Menteri Besar di Perak.

Faizal juga bukan hanya sekadar Menteri Besar Perak tetapi dia juga merupakan Timbalan Presiden Bersatu.

Tentunya langkah itu mempunyai implikasi besar kepada maruah Bersatu yang memiliki Presiden sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Gelora politik dalaman Umno mungkin berterusan dan boleh sahaja mengganggu parti itu daripada kembali berpengaruh.

Pasukan tentera berperangĀ 

Ramai yang menjangkakan penggulingan itu akan menutup pintu kepada hubungan Umno dan Bersatu yang masih bergelora. Tetapi tidak lama kemudian, selepas kejayaan Adun Umno menjatuhkan Menteri Besar Perak, muncul pula Zahid Hamidi memohon maaf kepada Muhyiddin yang merupakan Pengerusi PN.

Cuba bayangkan, dua pasukan tentera berperang. Tetapi selepas menang, jeneral dari pasukan yang menang muncul di hadapan orang ramai dan memohon maaf. Aneh bukan? Tetapi demikianlah yang berlaku kepada Umno kini.

Zahid Hamidi mempunyai pengalaman sebagai Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pertahanan. Sepatutnya wibawa sebagai menteri yang memegang portfolio kritikal itu boleh dikekalkan walaupun tidak lagi menjadi pemimpin negara.

Sayangnya, mungkin kerana Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang diketuai oleh Hamzah Zainuddin yang juga Setiausaha Agung Bersatu, maka sukar untuk Zahid Hamidi bersikap bagai kaduk naik junjung atau menerima padah jika fail-fail ‘nasi tangas’ Zahid Hamidi didedahkan.

Selain permohonan maaf daripada Zahid Hamidi, satu lagi perbuatan yang sama telah dibuat oleh Bung Moktar Radin yang juga Pengerusi Umno Sabah. Hal ini apabila dia memohon maaf kepada Zahid sebagai Presiden Umno kerana gagal menjadi Ketua Menteri Sabah.

Kata Bung Moktar, walaupun jawatan Ketua Menteri Sabah adalah harapan Umno tetapi selepas BN memperoleh hanya 14 kerusi DUN berbanding PN sebanyak 17, sukar untuk parti itu berunding dengan sekutu parti yang lain dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk memperoleh jawatan itu.

Tetapi jika dibuat perbandingan mengikut parti pula, Umno memperoleh 14 kerusi berbanding Bersatu hanya 11. Kalau Umno cekap dalam perundingan, tidak mustahil peluang untuk mereka meletakkan Bung Moktar sebagai Ketua Menteri Sabah masih terbuka.

Namun mungkin kerana penangan ‘nasi tangas’ Bersatu, Umno tidak boleh lagi terlalu besar kepala untuk tunjuk kejantanan sebagai parti Melayu terbesar di Malaysia.

Berdasarkan kepada pengakuan Tengku Adnan Tengku Mansor yang merupakan Setiausaha Agung Umno pada 2017, parti itu dianggotai lebih tiga juta ahli seluruh negara. Berbanding Bersatu, walaupun tiada laporan anggaran secara rasmi tetapi bolehlah dikatakan bilangan ahlinya jauh lebih rendah daripada Umno.

Sikap tunduk kepada Bersatu ini memang merimaskan segelintir pemimpin Umno terutamanya yang berasal dari Johor. Shahrir Samad, Nur Jazlan Rahmat, Khaled Nordin, Puad Zarkashi antara pemimpin yang konsisten mengkritik pendirian Umno kini yang serba kalah dengan Bersatu.

Gelora politik dalaman Umno ini mungkin berterusan dan boleh sahaja mengganggu parti ini daripada kembali berpengaruh manakala Bersatu, walaupun bilangan ahlinya kecil tetapi cukup selesa mengatur strategi untuk menguasai pergerakan politik seluruh negara.

Maka, Umno kini bolehlah diibaratkan seperti keris pusaka yang lunyai disintuk kelopak bunga raya.