Malaysia Dateline

Nasib 3 beradik buta di Kampung Betanak, Daro dipinggirkan

Hati mana yang tidak terkilan dan sedih apabila melihat nasib tiga adik beradik yang mengalami cacat penglihatan sejak dari kecil terpinggir daripada menerima sebarang bantuan.

Walaupun pernah menerima bantuan sebanyak RM150 sebulan sebelum ini daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak tetapi bantuan itu tiba-tiba diberhentikan selepas hanya beberapa bulan disalurkan tanpa memberi alasan kukuh.

Nasib ketiga-tiga adik beradik iaitu Radimah Sazali 24, Siti Aisyah,
19, dan Siti Humaira yang berusia sembilan tahun seolah-olah diketepikan oleh pemimpin peringkat kampung dan di kawasan itu sendiri.

“Bayangkan bapa mana yang tidak risau melihat anak-anak mereka dalam keadaan begini apatah lagi apabila saya memikirkan sekiranya saya dan isteri tiada lagi nanti.

“Bukan hendak menagih simpati…kalau orang lain boleh mendapat bantuan tetapi kenapa nasib anak-anak saya dinafikan,” luah Sazali Madawi, bapa kepada tiga beradik berkenaan.

Hasil perkongsian hidup Sazali dan isterinya Ainom Helen, mereka telah dikurniakan kesemuanya empat anak perempuan tetapi anak pertama tidak mengalami sebarang masalah penglihatan.

“Saya sangat berharap agar mereka mendapat bantuan seperti orang lain memandangkan saya hanya bekerja sebagai nelayan yang pendapatannya tidak menentu,” jelasnya.

Menurut Sazali, Persatuan Insan Istimewa Daro dan Matu (IDAM) telah tampil membantu anak-anaknya menguruskan bagi mendapatkan kad Orang Kurang Upaya (OKU)dan kad pengenalan kepada salah seorang anaknya.

“Bukan mudah bagi kami berurusan di luar memandang perjalanan yang agak jauh dan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi untuk ke Daro atau ke Sibu.

“Terimakasih kepada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) iaitu IDAM yang banyak membantu kami,” ujar beliau.

Sehubungan itu, kepada orang ramai yang hendak membantu meringankan beban Sazali sekeluarga, boleh menyumbang di akuan beliau iaitu di Agro Bank – 100-684100001654-7 (Sazali Bin Mandawi).