Malaysia Dateline

PKP baru: Nasib 300,000 pekerja Malaysia di Singapura sekarang tidak menentu

Seramai lebih 300,000 rakyat Malaysia yang berkerja di Singapura hari ini terpaksa memikirkan soal perkerjaan mereka akibat dari lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April 2020.

Adun Perling Cheo Yee How berkata, langkah kerajaan melanjutkan PKP tersebut akan mengugat rakyat Malaysia yang berkerja di Singapura.

Semalam dalam satu portal berita memaklumkan bahawa Singapura tidak akan melanjutkan sokongan perumahan sementara kepada pekerja Malaysia yang berkerja di negara itu.

Cheo berpendapat kerajaan perlu mengambil langkah segera memberikan kata putus untuk membuat rundingan terhadap negara republik itu.

“Ia akan mengundang masalah kerana tidak mungkin kerajaan Singapura akan memberikan cuti kepada pekerja Malaysia selama 14 hari bermula pada tarikh 1 April 2020.

“Lanjutan ini pasti akan menjejaskan nasib pekerja Malaysia tersebut dan mereka pastinya akan menjadi buntu memikirkan soal ini.

“Kerajaan tidak harus mendiamkan diri serta langkah drastik perlu dilakukan bagi menyelamatkan nasib mereka yang berkerja di seberang tambak itu,” jelasnya kepada wartawan.

Mengulas lanjut perkara itu, beliau berpendapat kerajaan harus mengadakan rundingan segera untuk menempatkan pekerja tersebut.

Tambahnya lagi, kerajaan juga boleh memberi cadangan untuk mengenakan bayaran yang setimpal kepada negara republik itu untuk penempatan sementara bagi menyambung baki 14 hari yang telah dilanjutkan.

“Kerajaan boleh berunding sekiranya perlu untuk mengadakan bayaran penempatan sementara kepada Singapura dengan harga yang setimpal.

“Bantuan kerajaan seperti memberikan mereka insentif untuk meneruskan hidup di negara lain perlu juga dipertimbangkan bagi meringankan beban mereka.

“Ini adalah komitmen yang harus dilakukan bagi menyelamatkan perkerjaan mereka akibat dari lanjutan PKP yang diisytiharkan semalam oleh Perdana Menteri,” jelasnya lagi.