Nasib Adib kuatkan persepsi PH ditunggangi bukan Melayu

Nasib Adib kuatkan persepsi PH ditunggangi bukan Melayu

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu  berpendapat tragedi menimpa anggota bomba, Allahyarham Muhamad Adib Mohd. Kasim akhir tahun lalu menguatkan tanggapan majoriti masyarakat Melayu bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah ditunggangi bukan Melayu.

Beliau berkata, persepsi yang mengikut acuan Umno dan Pas itu ketara seperti dilihat pada tiga keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) selepas insiden rusuhan di hadapan kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya itu.

“Maka naratif atau persepsi yang mengatakan bahawa kerajaan PH ditunggangi bukan Melayu, bukan Islam sudah diyakini ramai malah sudah dipegang oleh sebahagian besar orang Melayu dan orang Islam di Malaysia khasnya di Semenanjung, namun tidak di Sabah dan Sarawak.

“Oleh itu, setiap kali berlaku pilihan raya kecil, terutama selepas peristiwa anggota bomba, Allahyarham Muhamad Adib Mohd. Kasim yang terkorban dalam rusuhan di kuil di Selangor itu, menjadikan keyakinan orang Melayu khasnya terperangkap dalam hujah Umno dan Pas semakin kuat dan semakin ketara.

“Ia menjadi satu pegangan yang diterima pakai sekarang ini bahawa kedudukan orang Melayu, Islam, kedudukan Raja-Raja Melayu tergugat di bawah pemerintahan PH,” ujarnya dipetik dari artikel di akhbar Berita Harian hari ini.

Walau bagaimanapun, Mohamad yang merupakan Menteri Pertahanan yakin naratif dan persepsi yang ditanam bahawa kerajaan PH tidak membela Melayu dan Islam akan patah di tengah jalan.

“PH hendaklah memulakan perjuangan daripada persimpangan yang dicipta ini. Memang selepas hampir setahun pemerintahan PH berlalu, kita menghadapi masalah besar.

“Kuatkan dan patahkan serangan Umno dan Pas bahawa kerajaan PH tidak membela Melayu dan Islam. Tonjolkan pandangan kita yang membawa konsep Islam Rahmat Untuk Semua,” katanya lagi.

Untuk rekod, Allahyarham Adib, 24, cedera parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada awal pagi 27 November tahun lalu.

Anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya berkenaan akhirnya meninggal dunia pada 17 Disember lalu iaitu selepas tiga minggu mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Sejak itu, PH tewas tiga kali berturut-turut pada PRK walaupun sebelum itu menang dalam empat PRK selepas PRU-14 iaitu di kerusi Dun Sungai Kandis, Dun Balakong, Dun Seri Setia di Selangor dan Parlimen Port Dickson di Negeri Sembilan.

Mulai PRK keempat, PH kalah kepada BN di Parlimen Cameron Highlands (26 Januari), Dun Semenyih (2 Mac) dan Dun Rantau, Negeri Sembilan pada 13 April lalu.