Malaysia Dateline

Nasib anak muda dibawah kerajaan PN terumbang-ambing

Nasib anak muda kini dibawah pemerintahan kerajaan PN tidak menentu dan terumbang-ambing tanpa pembelaan serius sehingga menimbulkan keresahan dan kebimbangan yang teramat dalam kalangan mereka.

Timbalan Ketua AMK Pulau Pinang, Hari Krishnan berkata, isu mengenai penutupan kilang yang mengakibatkan ramai rakyat hilang pekerjaan khususnya golongan muda turut dikaitkan dengan situasi Covid-19 sebagai penyebab ekonomi merudum oleh kerajaan,

Sedangkan, katanya pada masa yang sama negara jiran seperti Indonesia dan Thailand mampu mendapatkan FDI yang agak baik jika dibandingkan dengan Malaysia.

Jelas beliau, Malaysia merupakan antara negara yang paling teruk di Asia Tenggara dari segi kejatuhan FDI sebanyak 68 peratus iaitu RM31. 7 bilion ke RM13. 9 bilion pada tahun 2020.Selain itu, pandemik Covid-19 sering dijadikan alasan walaupun Indonesia sendiri telah pun membuka beberapa buah kilang baru dimana banyak peluang pekerjaan berjaya diwujudkan.

“Kedegilan dan sikap leka kerajaan apakala tidak memberi tumpuan terhadap industri pembuatan boleh mengakibatkan situasi bertambah teruk apabila pelabur asing berpindah ke negara jiran setelah mudah mendapat tenaga pekerja dan pada masa yang sama turut menawarkan skim pelaburan yang menarik.

“Perangkaan negara tahun lepas mencatatkan seramai 772,900 orang masih menganggur. Sekiranya angka ini mencambah adalah dibimbangi anak muda negara ini terpaksa mencari kerja di negara-negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam dalam masa 10 tahun yang akan datang sepertimana lambakan tenaga kerja asing ke Malaysia sebelum ini.

“Kerajaan PN sepatutnya bijak mencari peluang dalam apa jua situasi bak kata pepatah ‘Every disaster is an opportunity you must seize’,” ujar beliau.

Sehubungan itu kata beliau, demi masa depan generasi muda, kerajaan harus merangka satu kaedah baru dan mencari solusi dengan menawarkan insentif yang menarik bagi melestarikan operasi sektor pembuatan serta sekaligus menarik lebih banyak pelabur asing ke negara ini dengan tidak mencanang-canangkan alasan Covid-19 sebagai kegagalan kerajaan untuk membela nasib golongan muda negara ini.