“Nasib baik tak kena dada” – Wau bulan tertusuk dekat cermin kereta, pemuda sempat lari keluar

Oleh MAISARAH AISYA

Sudah menjadi kebiasaan untuk melihat wau bulan dari atas yang terlihat gah diterbangkan angin namun lain kisah buat pemuda ini.

Seorang lelaki mengakui dirinya masih terkejut apabila melihat wau bulan mendarat tepat di atas kereta bahagian sebelah pemandu.

Lebih menakutkan lelaki tersebut sebenarnya masih di dalam kenderaan tersebut dan sempat mengelak daripada tertusuk wau bulan itu.

Video tersebut dimuat naik di akaun TikTok, Boika pisang (@kalkanut) dan insiden itu berkemungkinan berlaku di kawasan pantai di Kelantan

“Datang nak healing, sekali pening. Nasib baik tak kena dada mat, belum sempat keluar kereta,” katanya menerusi kapsyen pada video itu.

Rata-rata warganet akui terkejut akan insiden tersebut malah tidak menyangka bahawa kereta tersebut berpenghuni.

“Ingatkan tak ada orang dalam kereta, nasib baiklah tak jadi apa-apa kalau tidak susah weh. Bertabahlah.

“Final destination (movie mengenai kemalangan tidak dijangka) ke ini?

“Sebab itulah kadang-kadang orang main wau tak gunakan busur. Inilah risiko dia bila kepala wau jadi berat sangat,” antara komen warganet di TikTok.

Malah ada individu yang berkongsi pengalaman wau tercucuk di bahagian mata hingga meninggalkan parut namun tak dapat dipastikan saiz sebenarnya.

“Saya pernah tercucuk di bahagian mata bang, sampai sekarang ada parut. Alhamdulillah nasib tak buta,” kongsi individu tersebut.

Baca juga: Tak puas hati dengan ‘servis’, lelaki pukul pelacur, minta pulang semula RM960