Malaysia Dateline

Nasib Bersatu Johor : Dari MB ke Nanas Malaysia

Dari kerusi Menteri Besar, kini Dr Sahruddin Jamal dilantik sebagai pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) yang baru.

Sahruddin melepaskan jawatannya sebagai MB Johor setelah Bersatu menarik diri daripada gabungan itu untuk membentuk kerajaan gabungan baru dengan Barisan Nasional (BN) dan Pas.

Kerajaan Johor pimpinan Pakatan Harapan (PH) sekaligus tumbang pada Februari lalu untuk menyokong penuh kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sahruddin perlu meletakkan jawatannya kerana partinya bersetuju untuk menyerahkan jawatan tertinggi itu kepada Umno.

Adun Benut Umno, Hasni Mohammad kemudiannya mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor yang baru pada 28 Februari.

Sementara itu, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), dalam kiriman di Facebook, mengucapkan tahniah kepada Sahruddin atas pelantikan tersebut.

“Ucapan setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Sahruddin atas pelantikan sebagai pengerusi LPNM yang baru,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, Langkah Sheraton menyaksikan Muhyiddin membawa sebahagian besar wakil rakyat Bersatu meninggalkan PH untuk bekerjasama dengan Umno dan Pas, selain MCA dan MIC.

Perkembangan itu menyaksikan Bersatu kehilangan jawatan menteri besar di Johor dan Kedah, masing-masing kepada Umno dan Pas.