Kesempitan hidup yang dialami telah memaksa seorang ibu tunggal bekerja sebagai pemandu teksi sapu untuk mencari rezeki.
Namun siapa sangka, niat murni itu malah menjerumuskan wanita berkenaan dalam kancah jenayah sehingga meringkuk dalam penjara.
Wanita yang dikenali sebagai Faridah itu dipenjara setelah ‘membantu’ mengangkut tujuh orang pendatang tanpa izin (PATI) warga Indonesia.
Didapati bersalah pada Disember tahun lalu, Faridah mendapat tempahan untuk menghantar PATI itu ke Padang Besar dari Changlun, Kedah.
Mendapat upah sebanyak RM100, Faridah malangnya ditahan bersama warganegara asing tersebut di Stesen Bas Changlun.
Menyara tiga orang anak, Faridah sebelum ini sering mendapat tempahan untuk membawa peniaga-peniaga dari Kemboja.
“Tetapi pada hari kejadian, saya dapat tempahan untuk bawa tujuh orang Indonesia daripada peniaga Kemboja yang saya kenal.
“Memang terpinga-pinga kerana tak sangka mereka adalah PATI. Peniaga Kemboja itu pula hilang entah ke mana,” katanya.
Faridah didakwa mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Aptisom) 2007.
Faridah mengakui terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan termasuk aktiviti haram untuk menyara keluarga selepas bercerai tujuh tahun lalu.
Reda dan insaf dengan perbuatannya, Faridah menasihati agar orang ramai tidak melibatkan diri dengan aktiviti haram walaupun terpaksa.
“Saya cuma mendapat upah RM100 untuk membawa mereka dan kesudahannya saya bergelar banduan.” Kongsinya.
Menurut laporan Kosmo!, pemandu teksi sapu yang malang itu bakal dibebaskan pada Mac tahun depan.
Baca juga: Jadi pengantin baru di usia 80 tahun, datuk sanding serentak dengan anak, cucu