Malaysia Dateline

Nasib Muhyiddin: Covid-19 reda nanti, Umno tarik balik sokongan?

Walaupun keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno semalam memberi gambaran tidak lebih seperti “wal hasil balik asal”, realitinya kedudukan Muhyiddin Yassin belum boleh dikira benar-benar selamat.

Dalam mesyuarat itu, keputusan yang dibuat ialah Umno kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN), namun menggesa penambahbaikan kerjasama berdasarkan nilai penghormatan dan konsensus politik.

Mesyuarat itu juga memutuskan untuk menolak kerjasama dengan PKR dan DAP.

Keputusan ini nampaknya tidak senada dengan gegak gempita yang ditimbulkan oleh Umno sendiri sejak kebelakangan ini.

Kecelaruan hubungan Umno dalam PN mula timbul apabila Anwar Ibrahim mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan bukti majoriti yang dimilikinya untuk mengambil alih kerajaan.

Antara bukti tersebut, sebagaimana ia kemudian tersebar di media sosial, adalah surat yang ditandatangani oleh Zahid Hamidi sendiri serta disokong oleh Najib Razak.

Ia kemudian disusuli dengan mesyuarat Biro Politik Umno yang memutuskan untuk meletakkan syarat-syarat baru kepada Muhyiddin jika hubungan kerjasama dalam PN ingin dikekalkan.

Permintaan Umno terlihat lebih keras apabila ia juga mahu perjanjian kerjasama selepas syarat-syarat baru itu dipersetujui dilakukan dalam bentuk perjanjian bertulis.

Kemudian, Umno dilaporkan mahu mengadakan mesyuarat MT di Pahang bagi memuktamadkan ketetapan Biro Politik itu.

Bagaimanapun, berikutan perintah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang menghalang perkumpulan secara beramai-ramai dan pergerakan merentas negeri, mesyuarat tersebut telah dibatalkan atas nasihat Majlis Keselamatan Negara.

Bagi membendung kemungkinan dijatuhkan berikutan majlis mengadap Agong oleh Anwar dan desakan Umno itu, Muhyiddin melalui Kabinet telah mengemukakan cadangan untuk menguatkuasakan darurat dengan segmen utamanya adalah menggantung Parlimen.

Ia dilihat sebagai langkah Muhyiddin untuk mengelakkan beliau dijatuhkan melalui penolakan undi terhadap Belanjawan 2021, sementelah pula Tengku Razaleigh Hamzah turut mempertikaikan keabsahan Perdana Menteri dan mahu usul tidak percaya segera dibentangkan.

Apabila cadangan darurat ditolak oleh Agong, kedudukan Muhyiddin jadi bertambah genting sehingga dilaporkan beliau sendiri berura-ura mahu melepaskan jawatannya.

Selain blok pembangkang yang mengecam Muhyiddin, bukan saja atas cubaan menguatkuasakan darurat, tambahan lagi selepas cadangan itu ditolak Agong, malahan Umno sendiri tidak henti-henti mendesak Perdana Menteri meletakkan jawatannya.

Berikutan keinginan untuk meletak jawatan tidak dipersetujui beberapa menteri Kabinet yang rapat dengannya, Muhyiddin pada pagi semalam telah memanggil semua ketua-ketua parti dalam PN untuk bertemu dengannya di Putrajaya.

Bagaimmanapun, Zahid Hamidi selaku Presiden Umno tidak hadir dalam pertemuan itu, walaupun ada laporan mengatakan, pada awalnya beliau memang mahu menghadirinya.

Keputusan Zahid Hamidi itu mencetuskan andaian bahawa Umno sudah tidak selesa lagi bersama PN.

Pada sebelah petang semalam pula, Ahli-Ahli Parlimen BN mengadakan pertemuan di PWTC untuk memutuskan apa pendirian yang harus diambil berkenaan kedudukan serta sokongan kepada PN dan Muhyiddin.

Dalam pertemuan itu, pelbagai cadangan dilontarkan, yang paling diperkatakan tentunya apabila Najib mencadangkan BN bekerjasama dengan Anwar dalam sebuah kerajaan baharu.

Begitu pun, cadangan itu menerima lebih banyak bantahan daripada sokongan, walau Najib memberi syarat, ia mestilah tanpa melibatkan DAP.

Akhirnya, untuk memutuskan segala kekalutan dan mengambil pendirian muktamad, Umno mengadakan mesyuarat khasnya malam tadi.

Keputusan mesyuarat yang akhirnya membuat ketetapan kekal menyokong PN setelah gegak gempita bagai nak terbalik dunia yang dicetuskan oleh Umno sendiri, kebanyakannya melihat sebagai tiada apa-apa, “wal hasil balik asal” dan hanya memenatkan wartawan menunggu berita sehingga jauh malam.

Bagi yang sinis, mereka mengatakan itulah perangai Zahid Hamidi – dulu, kini dan selamanya.

Selalu dan sejak dulu, beliau dikatakan suka bikin ribut, tapi akhirnya tetap kembali mencari bot.

Namun demikian, beberapa maklumat dalam Umno mengatakan, keputusan MT malam tadi yang mengekalkan sokongan kepada PN dan Muhyiddin hanyalah bersifat sementara.

Sama ada Umno mahu menolak Belanjawan 2021 juga difahamkan masih 50-50 kerana Umno tidak mahu dilihat menambah-susah derita rakyat di kala Covid-19 kembali melanda jika mengambil keputusan sedemikian.

Yang pasti, Umno akan tetap menarik sokongannya di waktu yang sesuai nanti, terutama apabila Covid-19 sudah mula reda dengan jangkaan awal gempuran akan dilakukan sebaik tirai tahun 2021 bermula.

Ketika itu, tujuan penarikan sokongan itu adalah agar Parlimen segera dibubarkan dan PRU dapat diadakan.

Buat waktu ini, sementara kekal bersama PN dan menyokong Muhyiddin, Umno akan mengambil pendirian melengah-lengahkan dahulu sebarang perbincangan mengenai pembahagian kerusi dengan Bersatu.

Ketetapan dan keinginan Umno ialah mereka hanya mahu bermuafakat dengan Pas untuk menghadapi PRU akan datang – tidak sama sekali sudi berkongsi kerusi dengan Bersatu, jauh sekali dengan Azmin Ali dan Hamzah Zainuddin.