Malaysia Dateline

Nasib Parlimen Bagan Datuk dalam PRU15-PH ada peluang kalahkan Zahid, undi tentera berkurangan

Parlimen Bagan Datuk menjadi tumpuan ramai dalam PRU 15. Datuk Seri Zahid Hamidi akan menentang 3 calon lain daripada PH, PN dan Bebas (Tawfik Ismail).

Sekiranya Zahid kalah di Bagan Datuk maka hasratnya untuk menjadi PM 10 akan terkubur dan pastinya nasib Ismail Sabri (Bera) akan lebih cerah untuk menjadi PM 10 dan Presiden UMNO.

Soalnya, bolehkah Zahid menang di Bagan Datuk? Dalam PRU 14, Zahid menang dengan majoriti 5,073 undi. Zahid mendapat 18,909 undi, PKR mendapat 13,836 undi dan PAS mendapat 4,061 undi. Terdapat 1,681 pengundi awal dan 4 undi pos daripada jumlah keseluruhan undi. Pengundi Melayu berjumlah 60%, Cina 18%, India 22% dan lain-lain 1%.
Dalam PRU14, Zahid mengelat dalam meraih undi. Seramai 1,563 pengundi tentera telah dipindahkan ke Bagan Datuk. Malah, Zahid berbelanja besar untuk membina kem tentera dengan menggunakan duit rakyat.

Laporan JKSTUPKK menunjukkan pada Julai 2017, Zahid selaku TPM pada ketika itu telah meminta projek Kem Hutan Melintang disiapkan sebelum 31 Ogos 2017. Pihak SPR yang turut hadir dalam perbincangan khas itu telah menyatakan pendaftaran pengundi tentera perlu dibuat pada bulan Ogos/September 2017.

Selepas PRU 14, pengundi tentera itu telah dipindahkan semula dan projek itu diserahkan balik kepada pemaju pada Ogos 2018. Maknanya, SPR pada masa itu tidak bebas dan boleh diarahkan oleh anggota pentadbiran untuk tujuan pemindahan pengundi.

Projek pembinaan Kem Hutan Melintang ini adalah satu projek yang tidak menguntungkan kerajaan. Projek ini dipandu oleh kontraktor yang dilantik secara rundingan terus dan menggunakan kaedah land swap. Ketika kontraktor kekurangan wang, satu permohonan khas telah dibuat kepada EPU untuk mendapatkan peruntukan RM50 juta. S

Sebab itu, bila Rafizi mendedahkan berkaitan kontrak tebatan banjir secara rundingan terus di bawah Menteri KASA, Datuk Seri Tuan Ibharim Tuan Man ianya adalah isu besar. Sebab di situlah punca projek tidak siap bila kontraktor itu sendiri lemah dari segi kewangan. Akhirnya projek memakan masa bertahun-tahun dan kerajaan terpaksa berbelanja lebih.

Bukan setakat itu, nilai tanah land swap yang bernilai RM357 juta juga telah diberikan diskaun sebanyak RM112 juta menjadikan nilai tanah land swap itu hanya RM245 juta sahaja kerana kontraktor tidak bersetuju dengan nilaian tersebut.

Projek ini pun tidak termasuk dalam projek keutamaan tentera dan tidak berdasarkan Pelan Pembangunan Strategik MINDEF.

Jadi, sebenarnya Zahid ini sebenarnya orang yang bermasalah dari segi integriti pentadbiran. Dengan kuasanya sebagai TPM pada masa itu beliau boleh mempengaruhi kerajaan untuk berbelanja kepada perkara yang tidak bermanfaat kepada rakyat semata-mata untuk memindahkan pengundi tentera. Tentera pula terpaksa mengikut arahan. Begitu juga dengan SPR. Zahid juga pernah menjadi Menteri Pertahanan dari tahun 2009 sehingga 2013 sebelum digantikan dengan Dato Seri Hishamuddin Tun Hussein.

Kalau kita sebagai rakyat mengharapkan Malaysia untuk maju ke depan maka ketirisan dan tatakelola harus diperbaiki. Segala hal rasuah perlu diperangi. Individu yang tidak berintegriti perlu ditunjuk jalan keluar oleh rakyat dalam PRU 15.

Secara logiknya, PH (Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin) mempunyai peluang untuk mengalahkan Zahid kali ini kerana pengundi tentera sudah berkurangan dan berlaku pertambahan Undi 18 dan undi automatik. Kategori pengundi ini kesemuanya berjumlah kira-kira 15 ribu orang dan adalah pengundi yang belum dapat dipastikan kecenderungan mereka.

Apatah lagi, apabila berlaku pertembungan BN-PH-PN di tempat ini pastinya undi Pas (sekarang PN) dahulu akan bertambah tetapi di atas kertas agak sukar PN untuk meraih kemenangan di Bagan Datuk. Pertembungan sebenar pastinya antara BN dan PH di Bagan Datuk. Faktor besar yang lain yang menyebabkan pengundi akan mengundi PH adalah kerana faktor pengundi mungkin mahukan Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai PM 10 dan ini akan memberikan kelebihan kepada calon PH.

Baca juga: Sebab apa Takiyuddin kena pancing BN untuk tumpang jadi kerajaan?

Baca juga: Letak kaki atas kerusi masa tonton wayang, wanita dikecam tiada adab