Malaysia Dateline

Nasib Parti Thai Raksa Chart diketahui 7 Mac ini – Mahkamah Perlembagaan Thailand

Masa depan Parti Thai Raksa Chart yang sebelum ini menamakan seorang puteri sebagai calon Perdana Menteri dalam pilihanraya negara itu, akan diketahui pada 7 Mac ini.

Mahkamah Perlembagaan Thailand dalam kenyataan hari ini berkata sembilan hakim akan mengundi pada 1.30 tengah hari 7 Mac, bagi menentukan masa depan parti populis yang setia kepada bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra itu.

“Mahkamah tidak akan mengadakan sesi pendengaran memandangkan kes ini sudah cukup dengan saksi dan bukti-buktinya untuk dibuat satu keputusan, berdasarkan kepada Akta Perlembagaan.

“Mahkamah akan berbincang mengenainya pada 7 Mac ini, dan akan membacakan keputusannya pada pukul 3.00 petang, hari yang sama,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas sembilan hakim Mahkamah Perlembagaan mengadakan perbincangan selama hampir tiga jam hari ini.

Nasib parti Thai Raksa Chart itu nampak tidak menentu selepas Suruhanjaya Pilihanraya Thailand (EC) menfail satu petisyen bagi membubarkan parti berkenaan susulan tindakannya menamakan kakak sulung Raja Maha Vajiralongkorn, Puteri Ubolratana Rajakanya Sirivadhana Barnavadi sebagai calon untuk jawatan Perdana Menteri pada 8 Feb ini.

Pencalonan Puteri Ubolratana kemudiannya dibatalkan oleh EC susulan teguran Raja Maha Vajiralongkorn, bahawa puteri itu masih anggota Keluarga Diraja, dan seharusnya kedudukannya lebih tinggi daripada politik negara.

Susulan itu beberapa parti politik serta individu menfail petisyen ke atas Thai Raksa Chart kerana melanggar undang-undang berkaitan parti politik apabila ia menamakan Puteri Ubolratana sebagai calon ke jawatan Perdana Menteri.

Pada 13 Feb, EC menfail satu kes di mahkamah menentang parti Thai Raksa Chart atas tuduhan melanggar Undang-undang Parti Politik, dan pada keesokkan harinya Mahkamah Perlembagaan Thailand berkata petisyen EC bagi membubarkan parti Thai Raksa Chart itu telah diluluskan.

— BERNAMA