Nasib pekerja pembersihan sekolah perlu dipertahankan

Oleh KIM SYAZIE

Baru-baru ini kita telah membaca atau mendengar keluhan dan rintihan yang disuarakan oleh pengusaha kantin sekolah setelah mereka terpaksa membayar sewa premis walaupun tidak digunakan.

Namun, tidak lupa juga nasib yang dialami oleh 50,000 pekerja kebersihan bangunan dan kawasan (KBK) yang dipotong gaji sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Walaupun sekolah ditutup semasa PKP dilaksanakan, namun pekerja pembersihan sekolah perlu meneruskan tanggungjawab mereka bagi memastikan persekitaran sekolah berada dalam keadaan yang bersih dan baik.

Pemotongan gaji sebanyak 40 peratus telah menjejaskan sumber pendapatan mereka. Tindakan ini tidak wajar dilaksanakan tatkala lebih ramai rakyat memerlukan pendapatan yang cukup bagi menyara kehidupan mereka sepanjang PKP berkuatkuasa.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menetapkan garis panduan dan kapasiti kerja kepada pekerja KBK iaitu sebanyak 60 peratus sepanjang tempoh PKP.

Tetapi, ianya bukanlah alasan yang kukuh untuk memotong gaji mereka setelah kapasiti kerja telah dikurangkan berbanding sebelum ini. Mereka seharusnya menerima bayaran gaji penuh yang sepatutnya iaitu RM1200.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) perlu mencari jalan penyelesaian dan titik persamaan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pekerja KBK ini serta memastikan kehidupan mereka terus terjamin.

—————————–
Penulis ialah aktivis Pendidikan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat.