Malaysia Dateline

Nasib pelarian Rohingya di Bangladesh dijangka menjadi bertambah buruk

Keadaan dan persekitaran kemanusiaan di kem-kem yang menempatkan pelarian Rohingya di Bangladesh bakal menjadi bertambah buruk untuk beberapa bulan akan datang menurut penyiasat berkaitan hak-hak asasi manusia, lapor Al jAzeera.

Wakil Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Yanghee Lee yang dilarang memasuki Myanmar memberitahu agensi berita tersebut, musim monsun di Bangladesh tidak lama lagi akan tiba, kem pelarian yang padat itu bakal “menyaksikan kejadian tanah runtuh dan ramai diramalkan akan ditimpa musibah kematian”.

Beliau juga memberi amaran tentang kemungkinan “tercetusnya wabak penyakit” ekoran hujan lebat dan “ia tidak dapat dibendung daripada merebak” dalam keadaan sedemikian.

Dalam bulan November tahun lalu, Bangladesh dan Myanmar telah menandatangani perjanjian persetujuan untuk mengahantar pulang pelarian-pelarian ini balik ke Myanmar dalam tempoh dua tahun.

1,550 orang pelarian dijadualkan akan dihantar pulang dalam masa seminggu, dan ini menjadikan lebih kurang 156,000 orang dalam tempoh dua tahun.

Tetapi menurut Lee, situasi di Myanmar langsung tidak kondusif untuk mereka ini pulang.

“Pertama sekali, mereka hendak pulang ke mana? Mereka telah hilang segalanya, rumah, tanaman, ahli keluarga dan kehidupan di Myanmar.

“Proses pembinaan semula kehidupan mereka di sana memerlukan usaha yang sangat besar, tidak mungkin mereka juga akan tinggal di khemah-khemah seperti di Bangladesh,” kata beliau.

Krisis etnik Rohingya bermula Ogos tahun lalu apabila pihak tentera Myanmar melancarkan operasi berdarah ke atas etnik tersebut sebagai tindak balas kepada serangan ke atas pos sempadan oleh Tentera Pemberontak Arakan Rohingya.