Malaysia Dateline

Nasib penoreh getah masih ditakok lama

Nasib penoreh getah masih lagi ditakok lama tanpa adanya perubahan sepertimana yang diharapkan.

Oleh kerana itu pembelaan amat diharapkan agar mereka dapat keluar dari kepompong kemiskinan yang amat melarat sejak sekian lama.

Demikian diluahkan oleh Pengerusi Persatuan Penoreh Getah Daerah Sik, Kedah, Sarina Manas.

Menurut beliau lagi, bantuan yang diberikan ibarat memberi ikan kepada penoreh.

Namun begitu katanya, penoreh getah sepatutnya diberikan jala supaya dapat bertahan lebih lama dan menjadi sumber pendapatan yang kedua.

“Antara masalah yang sering dihadapi hingga kini ialah bantuan yang diterima dari kerajaan tidak menyeluruh.

“Sebagai contoh penoreh kebun Felcra yang cuma dibayar RM1 sekilo getah tidak mendapat bantuan.

“Begitu juga dengan penoreh yang menoreh di kebun-kebun tidak berdaftar dengan Risda dan kebun-kebun yang tidak bergeran juga tidak mendapat bantuan sepertimana yang diharapkan.

“Sebetulnya masih terlalu ramai yang belum mendapat bantuan bagi daerah Sik serta beberapa kawasan lain di negeri Kedah,” jelasnya.

Kata Sarina lagi, adalah amat diharapkan kerajaan boleh memberi suntikan dana kepada Persatuan Penoreh Getah sedia ada bagi membolehkan persatuan bergerak dengan lebih aktif bagi menyelesaikan masalah penoreh.

“Tidak dapat dinafikan bantuan yang diberikan kerajaan sejumlah RM600 hanya mampu untuk membantu penoreh berbelanja selama dua bulan sahaja.

“Walau bagaimana pun sekiranya bantuan disalurkan melalui persatuan pelbagai program dan perancangan dapat diatur selia bagi menyediakan peluang kedua untuk penoreh.

“Oleh kerana itu reformasi yang hendak dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan haruslah dalam membela nasib penoreh getah haruslah berbeza dengan apa yang pernah diamalkan oleh kerajaan BN terdahulu, ” tegasnya.

Malah ujar beliau lagi, sebolehnya adalah diharapkan harga lantai getah dapat dinaikkan sekurang-kurangnya RM4 sekilo.

“Sekiranya ini dapat direalisasikan, maka penoreh yang menoreh dikebun milikan orang lain boleh memperolehi sebanyak RM2 sekilo setelah ia terpaksa dibahagi dua bersama dengan pemilik kebun.

“Seandainya harga getah menurun, maka nasib penoreh akan tetap berada pada tahap kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

“Keluh kesah, tangisan dan rintihan penoreh getah perlu didengari dengan serius dan memahami kesukaran hidup yang sedang dihadapi mereka tatkala ini, ” tambahnya.