Malaysia Dateline

Nasib Rosmah diputuskan hari ini

Nasib isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor samada beliau bersalah atau tidak dalam kes projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilon di Sarawak akan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan lisan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan di akhir kes pendakwaan pada 10 Februari lepas.

Rosmah, 69, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak, Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor bagi projek membekalkan tenaga solar bernilai RM1.25 bilion kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tiga tempat berasingan iaitu di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta; di kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, antara Januari 2016 hingga 7 September 2017.

Ketika hujahan lisan pada 10 Februari lepas, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, tidak dipertikaikan bahawa wang itu disediakan oleh saksi ke-17, Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin kemudian dihantar ke kediaman tertuduh.

“Proses penyerahan beg antara Saidi dan tertuduh mengesahkan bahawa tertuduh mengetahui sepenuhnya kandungan beg tersebut.

“Malah terdapat bukti menyatakan, Rosmah mengarahkan saksi ke-21, Datuk Rizal Mansor meminta suapan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, peguam Datuk Jagjit Singh dan Datuk Akberdin Abdul Kadir yang mewakili Rosmah menegaskan, anak guam mereka tidak meminta atau menerima rasuah seperti mana yang dipertuduhkan.

Sementara itu, suami Rosmah, Datuk Seri Najib Razak memohon kepada mahkamah untuk menemani isteri beliau hari ini.

Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah, yang mendengar perbicaraan kes bekas perdana menteri itu berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) semalam berkata, bahawa anak guamnya mahu menghadiri prosiding mahkamah Rosmah sebelum menghadiri perbicaraannya sendiri yang dijadualkan bermula 9.30 pagi.

Sehubungan itu, Hakim membenarkan prosiding kes Najib dimulakan lambat untuk membolehkan Najib menemani Rosmah.