Nasihat Azhar buat Tan selesa makan guna tangan

Nasihat Azhar buat Tan selesa makan guna tangan

Walau jauh kenangan berlalu, ilmu yang bermakna tidak akan luput diingatan bahkan nilai persahabatan sentiasa mekar sepanjang zaman.

Demikianlah yang dialami calon Amanah bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar, Ustaz Azhar Ab Shukur ketika didatangi seorang lelaki Cina selepas ceramah kempen di parlimen itu, dua hari lalu.

Beliau mencatatkan kembali detik pertemuan semula dengan rakan lama sekolahnya yang dipanggil sebagai Tan di akaun Facebook miliknya atas nama Azhar Ab Shukur hari ini.

Ustaz Azhar, 51, memberitahu mulanya Tan bertanyakan sama ada beliau mempunyai abang yang pernah belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besar.

Namun, Ustaz Azhar menjawab dirinya sendiri menuntut di sekolah itu sebelum Tan atau dulunya digelar Taiko mengesahkan mereka pernah menghuni satu asrama yang sama.

“Saya masih ingat, awak makan nasi guna tangan dan saya guna sudu. Awak cakap, kalau guna tangan, kita akan jaga tangan kita bersih-bersih.

“Lepas tu saya terus (makan nasi) guna tangan, masuk U (universiti), saya bagitau kawan-kawan begitu. Saya sebut nama awak… rindu kat awaklah… sudah 30 tahun tak jumpa…,” ujar Tan seperti diceritakan kembali Ustaz Azhar pada status di Facebook itu.

Catatan di media sosial tersebut seterusnya mengundang reaksi ramai netizen terutama bekas pelajar SMK Sungai Besar.

Kebanyakannya mengakui mereka juga alumni sekolah menengah yang terletak di Jalan Pegawai itu.

Untuk rekod, selain SMK Sungai Besar, Ustaz Azhar juga pernah belajar di SMK Tunku Abdul Rahman Putra, Sungai Besar serta SMK Yoke Kuan di Sekinchan.

Di peringkat sekolah rendah (1972 hingga 1978), Ustaz Azhar belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Leman, Sekinchan dan SK Sri Utama di Sungai Besar.

Beliau yang juga anak kepada bekas Adun Sungai Burung, Dato’ Ab Shukur Sirat itu kemudiannya melanjutkan pelajaran tinggi ke Karachi, Pakistan dalam bidang pengajian Islam dan Hadis.

COMMENTS

Wordpress (0)