Malaysia Dateline

Nasihat syariat buat para muluk dalam suluk bersiyasah

Adat bersendikan syariat

Raja-raja Melayu adalah simbol kepada jaminan syariat Islamiyah akan dipelihara dan kekal menjadi faktor teras tegak-berdirinya sebuah kepimpinan Melayu dalam negara.

Fakta ini termaktub dalam sejarah Alam Melayu bahawa Raja-Raja Melayu dan siyasah berpisah tiada. Kebijaksanaan umara’ dari Raja-Raja Melayu dan berkat ilmu berhikmah para ulamak Nusantara menghasilkan keunikan lokal pemerintahan Islam melalui sejarah panjang pengaruh Animisme-Buddha-Hindu di rantau ini yang berakhir dengan pengaruh Tauhid Islam.

Sejarah panjang perjalanan ini adalah aset berharga kepada institusi Raja-Raja Melayu yang hingga kini kekal berada di bumi Malaysia sebagai tonggak kewujudan negara.

Perjalanan panjang ini menghasilkan satu prinsip yang mendalam hikmahnya melaluipepatah masyarakat Melayu yang berbunyi “Adat Bersendikan Syariat, Syariat Bersendikan Kitabullah”

Tindak tanduk muluk di atas maslahah

Kearifan lokal yang memandu kepimpinan Raja-Raja Melayu dan ulamak silam Nusantara sebenarnya adalah berpandukan kepada tuntutan syariat itu sendiri yang membuka ruang kepada fiqh al nawazil atau kearifan persekitaran yang cirinya unik kepada setempat seperti faktor adat, struktur sosial dan keabsahan autoriti.

Mengimbangi antara kewujudan adat dan tuntutan syara’, lahirlah kearifan lebih mendasar dari sekadar hukum-hukum beragama tetapi melihat di sebalik pelaksanaan hukum-hukum tersebut kepada prinsip maslahah yang oleh bahasa Melayu kadang-kadang disebut dengan ungkapan kemaslahatan, kebaikan, kemanfaatan atau berkebajikan.

Sesungguhnya semua istilah itu tergabung dalam satu gerbang formulasi hukum demi mencapai maslahah terpandu oleh pengetahuan teks dan konteks yang diikhtiraf untuk mencapai kata sepakat al-Ahkam al Syari’eyah.

Prinsip maslahah lebih terserlah dalam bidang siyasah ad daulah atau siyasah bernegara di mana di lubuknya terpendam hikmat dan kerahsiaan yang perlu diselami dan digali oleh para muluk yang bijaksana untuk mencapai sesuatu ketetapan.

Ketajaman siyasah para muluk menjadi syarat dalam adab pemerintahan, malah siyasah dan adab seolah-olah berpisah tiada dalam menentukan keputusan besar yang kemasalahatan rakyat bergantung kepada firasat muluk.

Firasat al muluk yang terhebat ialah mampu mendalami keseimbangan antara mendapatkan maslahah dan mengelak mafsadah untuk rakyatnya. Imam al Mawardi (meninggal dunia 450 Hijrah) yang terkenal dengan karya agungnya al Ahkam al Sulthaniyah menawarkan makna siyasah dalam mentadbir urusan umat sebagai ianya satu seni adab, katanya:

“Adab itu ada dua: Adab syariat dan adab siyasat, yang dimaksudkan adab syariat ialah apa yang terlaksana padanya segala kefardhuan manakala adab siyasah ialah apa yang dapat memakmurkan muka bumi”

Adab para muluk

Sangatlah mendalam hikmat Imam al Mawardi menasihati para muluk agar pertama sekalinya siyasah itu adalah adab yang merujuk kepada kesopanan akhlak dan kesantunan peribadi serta kepedulian insani dalam menjalankan apa-apa keputusan dengan panduan-panduan keperibadian secara syariat dan bukan hawa nafsu yang menyesatkannya. Ini terbukti dengan kata-katanya “..apa yang terlaksana padanya segala kefardhuan…”

Namun demikian sekadar punya akhlak yang baik belum menjamin muluk itu ada daya kepimpinan, seterusnya muluk itu perlu mendalam pada firasat siyasahnya kerana keputusannya adalah untuk memakmurkan rakyat dan menghindari mereka dari kerosakan mafsadah dan kehancuran.

Bukanlah firasat muluk itu hanya untuk kepentingan kedudukan kuasanya sebab itu muluk adalah zilullah fil ardh sebagai kiasan kepada para muluk yang mesti membawa keadilan, ihsan, khairat dan dalam nafas yang sepadan menolak sebarang keputusan dengan kekejian, kemungkaran dan al Baghyi (melampaui batas).

Nasihat para ulamak yang jujur pada ilmunya usah diabaikan, betapa dalam tawarikh umat Islam harta dari pusaka ilmu mereka sangat berharga untuk para muluk menjadikannya “Tongkat Sakti’ bersiyasah demi melimpahi rahmah kepada umat.
Sesungguhnya bukan sahaja umat melaungkan doa rahmat untuk para muluk tetapi para muluk juga harus melimpahi kembali doa rahmat itu dengan keadilan dan ihsan kepada umat. Tongkat sakti para muluk terletak kepada firasat dan hikmat aqal yang terpandu dengan panduan prinsip-prinsip diperbadankan dalam hikmah syariat Islam.

Hikmah bersyariat

Sekadar memetik secara umum perbendaharaan ilmu siyasi turath Islami kepada para muluk, makna kulliyah atau makna keseluruhan hikmah bersyariat itu mestilah tertegak di atas nilai-nilai keadilan, kerahmatan, kemanusiaan dan kelestarian persekitaran.

Apa sahaja yang terkeluar dari nilai ini tidak membawa erti kepada makna syariat bersandarkan Kitabullah. Cerminan makna kulliyah itu perlu tunduk kepada keputusan-keputusan yang dibuat dalam masalah tertentu yang mendatang.

Memperincikan dan merungkaikan sesuatu masalah itu walau apa pun alasan kemaslahatannya tidak boleh menyanggahi kehendak makna kulliyah yang kemaslahatannya adalah secara ijma’, tekstual sama ada secara jelas atau secara isyarat dan pentaa’qulan kepada masalah dengan melihat kesan dari keputusan yang dibuat.
Demikian antara lain pesanan mengimbangi antara kesan maslahah dan mafsadah kepada para muluk oleh Imam Izzudin Ibnu Abdus Salam (meninggal dunia 660H) dalam karya agungnya Qawaid al Ahkam Fi Masalih al Anam.

Tiadalah sebesar maslahah dalam hikmah syariat antara lainnya ialah untuk memelihara/melindungi al nafs atau nyawa.

Segala wasilah ke arah tercapainya maslahah al nafs ini menjadi satu keperluan dharuri juga hendaknya. Wasilah terpenting adalah peruntukan undang-undang daulah yang terangkum dalam elemen konteks kepada panduan bersendikan syariat.

Muluk tidak mungkin mendapat keputusan terbaik tanpa ahlul hal wal aqdi yang dijelmakan dalam konteks hari ini dalam lembaga Demokrasi Berparlimen.

Nyawa bukan boleh dipertaruhkan dengan makar kuasa sedangkan keabsahan undang-undang yang telah pun terpakai sebagai undang-undang negara adalah wasilah terbaik untuk nyawa rakyat dan kesejahteraan mereka terpelihara.

Itqan al Muluk Bi Ta’dil al Suluk

Demikian nasihat untuk para muluk dimuatkan dalam Itqan al Muluk bi Ta’dil al Suluk sebagai dokumen Perlembagaan Kerajaan Melayu Terengganu tahun 1911.

Para muluk dipandu dengan konsep syura melalui sidang para anggota yang disebut sebagai keahlian mereka setara jua di antara mereka malah dituntut secara ijma’ jua segala keputusan mereka setelah berbahas dan berkhilaf pandangan dalam sesuatu masalah siyasah.

Tiadalah asas ijma’ sebesar persetujuan sekalian rakyat (konsensus) bahawa nyawa dan penerusan hidup adalah utama dari yang terutama buat masa kini.

Oleh itu, wasilah ke arah mencapai maksud tersebut memerlukan anggota daulah dari wazir dan ahli hal wal aqd yang berfungsi dan berkesan bagi mencapai maslahah ini.

Para muluk senantiasa diingati oleh kaedah zarai’e atau kaedah penutupan ruang yang menjadi wasilah kepada kesan mafsadah atau maslahah sesuatu.

Gunakanlah kaedah ini sebaik mungkin dalam seni firasat membuat keputusan siyasah supaya zara’ie dibuka untuk kemaslahatan syura dalam memberi kesan kepada penjagaan nyawa dan maslahah meneruskan kehidupan rakyat.

Demikian nasihat untuk para muluk dari turath ilmu siyasat Islam dari ulamak Melayu dan Arab, semoga bermanfaat dan berlanjutan keadilan muluk dengan adab dan suluk memenuhi hak rakyat mendamba pembelaan.

Sekelian nasihat disampai sudah
Khazanah ilmu melimpah-ruah
Firasat muluk tiadalah mudah
Jangan sesekali rakyat gundah

Siyasat daulah ilmunya dalam
Hindari dari makar penjahat
Hidup bersyariat sunah alam
Bahagia umat Raja Berdaulat.

*DATUK SERI DR MUJAHID YUSOF RAWA merupakan Ahli Parlimen Parit Buntar dan juga Naib Presiden AMANAH.