Malaysia Dateline

Nasionalisme Melayu di Malaysia

Susur galur perkembangan nasionalisme dalam tempoh 100 tahun pada selepas Perang Dunia Pertama hingga mutakhir ini apabila wujudnya Muafakat Nasional (MN) menarik untuk dibincangkan.

Idea nasionalisme memang bukan daripada kerangka pemikiran kita tetapi pengaruh keintelektualan Barat memaksa kita menggunakannya. Seperti kata Tagore, nasionalisme adalah ciptaan terburuk Barat. Abaikan dahulu. Itu memerlukan satu artikel berasingan. Kita bincang dahulu mengenai nasionalisme Melayu di Malaysia.

Evolusi nasionalisme ini dinamik, berkembang sehinggalah makna nasionalisme itu berubah-ubah mengikut waktu, kelompok yang mempunyai kepentingan-kepentingan tertentu.

Antara sosok atau tokoh yang perlu diketengahkan dalam tulisan ini ialah Cikgu Abdul Hadi Hassan. Watak atau sosok Cikgu Abdul Hadi Hassan ini tiada atau sangat kurang dalam lipatan sejarah tanah air. Cikgu Abdul Hadi Hassan ini memberikan peranan yang cukup besar bagaimana terbinanya makna Melayu itu sendiri.

Walaupun Melayu itu satu bangsa yang sangat luas, tetapi pada tahun-tahun selepas Perang Dunia Pertama, Melayu dipecah-pecahkan kepada suku-suku seperti Banjar, Jawa, Orang Kelantan dan sebagainya sehingga apabila dilihat dalam kurun-kurun ke-20 dan sebelum itu, terjadi peperangan di antara negeri-negeri seperti Selangor menyerang Perak, Acheh menyerang Perak dan sebagainya.

Walaupun Melayu menyerang Melayu, walaupun mereka satu tetapi mereka tidak menunjukkan satu kesatuan. Perjuangan idea dan pemikiran Cikgu Abdul Hadi Hassan memulakan revolusi pemikiran orang Melayu untuk bersatu di bawah satu payung.

Akhirnya, orang Melayu bersatu yang kemuncaknya pada tahun 1946 dengan penentangan terhadap Malayan Union.

Antara tokoh lain yang perlu kita kaitkan dengan perjuangan Cikgu Abdul Hadi Hassan ialah Cikgu Harun Aminurrashid, Buyong Adli dan Ibrahim Yaacob.
Perlu juga kita kaitkan bahawa peranan Ibrahim Yaacob ialah anak murid Cikgu Abdul Hadi Hassan. Ibrahim Yaacob menubuhkan KMM menjadi satu parti yang membawa gagasan nasionalisme Melayu itu sendiri.

Pengaruh Cikgu Abdul Hadi Hassan ini sangat besar terhadap KMM. Kewujudan KMM boleh juga dikaitkan peranan atau pengaruh Tan Malaka dan pemimpin-pemimpin politik Indonesia yang awal seperti Sutan Djenain yang mempunyai pengaruh besar terhadap perkembangan nasionalisme di Indonesia.

Malangnya, watak-watak ini ‘ditenggelamkan’ kerana latar belakang mereka dikaitkan dengan komunis. Ia menyebabkan sejarah peranan mereka tenggelam.

Walhal, jika kita lihat peranan Tan Malaka khususnya atau Sutan Djenain sendiri dalam mengemukakan idea nasionalisme ini sangat besar.

Akhirnya, Sutan Djenain dianggap ancaman terhadap British. Semasa era darurat, beliau ditangkap oleh British dan dihantar ke Indonesia.

Sejarah beliau habis setakat itu sahaja. Menariknya, idea Tan Malaka dan Sutan Djenain di Malaya atau Malaysia ini, beliau mengemukakan gerakan komunisme di Tanah Melayu ini mestilah berasingan daripada komunisme yang digerakkan oleh kaum Cina.

Sutan Djenain hendakkan komunisme itu terasnya ialah Melayu itu sendiri. Ia merupakan suatu nasionalisme yang sangat padat dikemukakan oleh Sutan Djenain.

Malangnya, idea Sutan Djenain ini tidak diterima kerana ada pergolakan dalaman antara Sutan Djenain dengan Rashid Maidin. Rashid Maidin dalam satu kenyataan akhbar menyebutkan Sutan Djenain tiada kaitan dengan PKM.
Akhirnya, Rashid Maidin dan Abdullah C.D. menubuhkan Rejimen ke-10 sebagai sebuah pasukan bersenjata tetapi masih lagi dalam PKM.

Tahun-tahun 1980-an disebutkan juga tentang bagaimana nasionalisme ini bertentangan dengan Islam. Ia disebut sebagai asabiah. Takrif asabiah yang dibawakan oleh Abdul Hadi Awang pada 1980-an dalam Pas itu sendiri sehingga dalam Muktamar Pas menyebut tentang menentang asabiah. Maknanya, asabiah ini dilihat sebagai suatu yang bertentangan dengan Islam.

Daripada situlah Pas memulakan untuk mengikis wajah Pas sebagai sebuah parti nasionalis yang diasaskan oleh Datuk Asri Muda. Beliau dilihat sebagai pro Melayu, nasionalis Islam.

Pada zaman kepimpinan ulama, imej Pas sebagai sebuah parti nasionalis sememangnya dihapuskan. Walaupun ada suara daripada Ustaz Fadzil menyebut tentang keperluan Melayu dalam konteks politik di Malaysia, tetapi pengaruh Ustaz Hadi Awang sangat besar. Ia menyebabkan perjuangan nasionalisme ini bertentangan.

Antara hujah yang disebutkan tentang asabiah itu ialah ‘menyokong atas nama kezaliman’. Kezaliman itu dikaitkan dengan Umno yang mengekalkan undang-undang penjajah, antaranya ISA.

Tafsiran-tafsiran ini menyebabkan Pas keluar sebagai sebuah parti yang cuba untuk membentuk rupa yang multiracial. Mereka mewujudkan jaringan dengan CCC iaitu masyarakat Cina, hubungan antara kaum. Di sinilah bermulanya penghakisan nasionalisme dalam politik Islam itu sendiri.

Akhirnya, jika kita melihat yang terkini, Pas sudah mula kembali kepada landasan awalnya iaitu dengan melihat suasana politik tanah air pada pasca PRU 2018.

Pas mengambil jalur nasionalisme ini sebagai suatu modal untuk meraih sokongan. Idea keterancaman Melayu atau Islam selama 22 bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah memang cukup lumayan bagi sebuah parti politik untuk mendapatkan sokongan atau kuasa.

Meski idea tersebut hanyalah sekadar ilusi politik jangka pendek, namun Pas telah berjaya memperoleh kuasa politik melalui kaedah tersebut.

Pemikiran Melayu pada zaman nasionalisme ini berubah-ubah. Namun, apapun dalam pembinaan bangsa ini, kepentingan negara akan lebih dipentingkan berbanding kepentingan kelompok kita.

Kepentingan kelompok itu pula lebih dipentingkan berbanding kepentingan peribadi. Saya fikir ini merupakan proses bagaimana kita bukan sahaja melalui sejarah dari Perang Dunia Pertama hingga sekarang.

Kita sepatutnya bukan sekadar melalui peristiwa-peristiwa, tetapi yang paling penting bagaimana kita mengambil pengajaran daripada proses itu.

Akhirnya, nasionalisme masih suatu idea yang sangat relevan, tetapi ia bergantung bagaimana parti-parti politik atau kelompok-kelompok tertentu mentafsir dan menakrifkan nasionalisme itu sebagai idea yang sangat kuat.

Apakah pendekatan terbaik untuk PH dan secara khususnya AMANAH dalam mendepani cabaran nasionalisme di tanahair? Ikuti sambungan tulisan ini nanti.

*DR MUHAIMIN SULAM adalah Jawatankuasa Pimpinan Nasional Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Naib Pengerusi AMANAH Perak.