Nasruddin lari dari Temerloh

Cakap berdegar-degar tetapi tidak berani pertahankan kerusi Temerloh walaupun menang buat pertama kali.

Walaupun menang buat pertama kalinya di Parlimen Temerloh, Ketua Penerangan Pas, Nasruddin Hassan mengambil sikap meninggalkan kawasan itu dalam pilihan raya kali ini dan bertanding di Indera Mahkota.

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang malam tadi mengumumkan Nasrudin akan bertanding Parlimen Indera Mahkota menghadapi calon Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.

“Saya hendak umumkan calon pada 19 April ini, tetapi malam ini saya nak berikan keistimewaan kepada Parlimen Indera Mahkota.

“Dia ada ilmu, dia ada kelayakan, boleh bercakap, boleh berhujah, dia tidak boleh duduk senyap di Parlimen,” katanya di Majlis Amanat Pilihan Raya PAS Pahang di Kuantan.

Abdul Hadi berkata, Pas akan meletakkan calon lain untuk mempertahankan Temerloh.

“Sebab apa ke sini? Sebabnya rumah di sini,” kata Hadi mempertahankan keputusan itu.

Tindakan Nasrudin tidak mempertahankan Temerloh yang dimenangi pada PRU13 menewaskan pencabar, Datuk Saifuddin Abdullah dari BN, dengan perbezaan 1,070 undi menjadi tanda tanya.

Saifuddin kini bersama PKR dan merupakan ketua sekretariat Pakatan Harapan.

Seorang veteran pilihan raya Pas berkata, ia menjadi satu kejanggalan bagi Nasrudin untuk tidak mempertahankan kerusinya yang dimenangi buat pertama kali.

“Kalau buat macam ini, orang akan kata dia takutlah, dia tidak bagi khidmat yang baik di Temerlohlah dan macam-macam lagi,” katanya tanpa mahu dinyatakan namanya.

Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini mengumumkan Setiausaha Agung AMANAH, Mohd Anuar Tahir akan bertanding di Temerloh.

Saifudin Abdullah pula disebut-sebut bakal bertanding di kerusi Indera Mahkota atas tiket PH bagi pihak PKR, bertembung sekali lagi dengan Nasrudin.

7.3
OVERALL SCORE
3 user votes x 9.7
CATEGORIES