Malaysia Dateline

Nasrudin anggap musuh susun perencanaan jahat, licik lemahkan umat Islam

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nasrudin Hassan mengingatkan bahawa pihak musuh tentu sahaja tidak akan tinggal diam sebaliknya pasti akan menyusun perencanaan yang jahat dan licik untuk melemahkan umat Islam.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) tersebut berpendapat usaha musuh itu akhirnya membolehkan mereka kembali menguasai politik dan ekonomi umat Islam.

“Strategi utama dan berkesan gerakan musuh untuk melemahkan umat Islam hanyalah dengan menggagalkan aliansi (pakatan) umat ini.

“Justeru tidak hairan, semakin kuat kita bercakap mengenai perpaduan dan mengusahakannya, semakin lantang pula mereka mencabar dan melakukan provokasi agar penyatuan umat ini gagal,” katanya dalam tulisan panjangnya, Sekali Serban Dililit.

Beliau berkata demikian ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN) terus goyah serentak asakan terhadap Muafakat Nasional (MN) termasuk dari dalam Umno sendiri.

Nasrudin selanjutnya menasihatkan berbeza pendapat usah hingga berpecah sebaliknya perbezaan itu diurus dengan tenang, lapang dada, sabar dan berjiwa besar.

“Fikirkan masa depan ummah dan negara. Jangan hanya mementingkan kuasa, kedudukan dan puak kita semata,” ujarnya.

Bekas Ahli Parlimen Temerloh itu turut mendakwa pihak musuh pasti akan berpesta sekiranya parti dalam kerajaan saling menuding dan salah menyalah antara satu sama lain.

“Sebenarnya, semakin deras suara-suara sumbang dan pincang yang mendorong ke arah pecah dan balah antara kita, menandakan musuh sedang panasaran.

“Dek kerana itu, kita jangan panik dan melatah lantas menari dengan rentak rebana yang dipalu oleh mereka.

“Mereka cetuskan provokasi dengan harapan agar kita menuangkan minyak ke atas api fitnah yang mereka nyalakan.

“Mereka mahu menjebak agar kita juga terjerumus dalam lumpur perpecahan yang kotor ini. Tentulah perpecahan umat ini akan menggembirakan mereka,” kata Nasrudin lagi.