Malaysia Dateline

Nasrudin mahu hentikan hina Islam, Pas disindir dah dapat kuasa tak tahu buat apa

Rata-rata warganet menempelak Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Nasrudin Hassan biarpun pemimpin Pas itu menegaskan penghinaan terhadap Islam mestilah dihentikan.

Terdahulu, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat itu mengulas penghinaan pengusaha kosmetik Ekora dan ajaran sesat yang dibawa oleh seorang pengusaha produk Si Hulk yang mendakwa Nabi Muhammad SAW adalah Tuhan.

“Fenomena ini sangat menyedihkan, sekali gus menjadi tambahan satu lagi tugas dan usaha dakwah yang perlu dilakukan oleh kita semua umat Islam,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Untuk rekod, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor memutuskan fahaman serta ajaran yang diasaskan Suhaini Bin Mohammad yang turut dipanggil Suhai Ibni Mohammad atau Si Hulk adalah sesat, menyeleweng dan bercanggah dengan akidah, syariah serta akhlak Islam.

Walau bagaimanapun, orang ramai yang meninggalkan komentar rata-ratanya menempelak sikap Pas yang lantang semasa bergelar pembangkang tetapi ‘tidak berbunyi’ apabila berada dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Jangan lupa ada juga menghina secara tidak langsung. Contohnya, memperdagangkan agama untuk kepentingan politik. Mana RUU355?” bidas Alias Zai.

Tegasnya, pihak yang sebelum ini pernah ‘melalak’ di Padang Merbok sekarang sudah pun menjadi Menteri Undang-undang.

“Kuasa dah ada. Bentanglah di Parlimen. Pandai tutup Parlimen saja,” katanya lagi.

Nasrudin Hassan

Sementara itu, Azahari Kuzaifah pula berpendapat pemimpin Pas itu perlu lebih aktif termasuk bekerjasama dengan pendakwah yang terkenal dengan kerja-kerja kebajikan di lapangan, Ustaz Ebit Liew.

“Panggillah Ustaz Ebit Liew yang diterima pelbagai golongan, agama dan bangsa buat program dakwah bawah YADIM. Apa cerita? Tak pernah nampak pun.

“Tengok orang itu usaha dakwahnya dari marhen sampai ke kayangan diterima dengan positif. Pendekatan dia buat dari cakap. Pro aktiflah lagi,” luahnya lagi.

Tidak kurang juga berpendapat kadang-kadang perbuatan dan tingkah laku ‘lebai Pas’ sendiri pun secara tanpa sedar menghina Islam.

Dalam masa sama, ada turut menyifatkan kedudukan Pas dalam kerajaan PN tidak berguna dengan mengaitkan kebenaran untuk pesawat awam Boeing milik Israel melintasi ruang udara Malaysia baru-baru ini seperti disahkan Kementerian Pengangkutan.

“Jet Israel pun rileks saja guna ruang udara Malaysia,” sindir Abu Solehuddin Zayyan di ruang komentar Facebook milik bekas Ahli Parlimen Temerloh itu.