Malaysia Dateline

Nasrudin tidak faham sebab Fastaqim 2.0 dicemburui

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan mengakui tidak faham dengan sikap pihak tertentu yang dianggapnya ‘cemburu, rimas dan resah’ dengan perhimpunan Fastaqim 2.0 di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus minggu lalu.

Pengerusi Fastaqim 2.0 berkenaan berkata, golongan tersebut memberi pandangan buruk dalam pelbagai bentuk ke atas kejayaan himpunan yang mensasarkan kehadiran seramai 200,000 peserta itu.

“Kejayaan Fastaqim 2.0 capai matlamat, objektif dan sasaran, rupanya sangat dicemburui oleh setengah pihak. Lalu mereka tulis pelbagai artikel dan ulas secara negatif dengan tujuan discredit himpunan Fastaqim 2.0

“Saya tidak faham kenapa mereka cemburu, rimas dan resah dengan himpunan Fastaqim 2.0. Sedangkan sudut baiknya terlalu banyak berbanding aspek lemah,” ujarnya dalam ‘Sekali Serban Dililit’.

Tulisan yang dinyatakannya sebagai Siri 74 itu dimuat naik dalam akaun Facebook beliau sekali gus mengundang kritikan dan sindiran netizen selain reaksi positif penyokong tegar Pas.

Tidak menafikan wujudnya kelemahan dalam Fastaqim 2.0, Nasrudin berkata, himpunan tersebut dianjurkan oleh Pas sebagai sebuah parti politik yang bukan kerajaan.

Walau bagaimanapun, Ketua Penerangan Pas itu menganggap dirinya dan Pengarah Fastaqim 2.0, Saiful Bahri Mamat merangkap bekas Pesuruhjaya Pas Terengganu ‘sangat berpuas hati’ dengan kejayaan himpunan pada 29 dan 30 September lalu.

Sejak Oktober 2016, Nasrudin menyebut tentang penganjuran Fastaqim 2.0 apabila Pas secara rasmi tidak menyertai perhimpunan Bersih 5 pada 19 November tahun lalu.

Bahkan, Fastaqim siri pertama berlangsung pada 17 Oktober 2015 di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu, Kelantan.

Sementara itu, Nasrudin dalam ruang komentar di Facebook menafikan dirinya ada menyebut tentang kejutan besar dalam Fastaqim 2.0.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Temerloh itu pula menganggap ada ‘orang gabra’ dengan reaksinya kepada media berhubung kejutan dalam himpunan tersebut.

“Siapa yang cakap ada kejutan besar? Saya kata akan ada yang mengisytiharkan untuk bersama, wartawan tanya saya, siapa? Saya kata nantilah kita buat kejutan kat hari Fastaqim.

“Sapa yang bercakap berdegar-degar, …. itu hanya jawapan saya dalam sidang media… tak ada degar apa pun. Ada orang gabra yerr,” komennya.

Terdahulu, pengguna Facebook atas nama Kuda Pencen menulis, kadang-kadang rasa hormat kepada golongan ustaz berkurang lantaran cakap berdegar-degar.

Tambah Nasrudin, media yang mewujudkan tajuk kejutan itu selain menafikan pihaknya mengeluarkan senarai tokoh peringkat nasional yang kononnya akan menyertai Pas.

“Pastu media buat topik kejutan. Tak ada masalah. Ada yang buat keluar senarai…semua senarai tu palsu, bukan kita yang buat. Jangan terperangkap dalam propaganda pihak Mr Kalut,” tulisnya lagi.

Anti klimaks

Rata-rata pihak media yang membuat liputan penuh Fastaqim 2.0 menganggap tiada kejutan seperti digambarkan Nasrudin sebelum ini melainkan hanya himpunan Pas yang lumrah dengan kehadiran penyokong taksub parti itu.

Media sosial juga dilihat melimpah dengan kritikan dan sindiran netizen ekoran dentuman guruh ketika pemimpin Pas lantang berucap selain mempersoal kewajaran penyertaan menonjol kanak-kanak dan murid tahfiz.

Turut diperkatakan tentang ‘pesta puja ulama’ selain dakwaan banyaknya tinggalan najis di sekitar lokasi pantai himpunan itu.

“Dulu, rakyat Tranung (Terengganu) tolak Pesta Puja Pantai sebab khurafat! Pas pulak anjur Pesta Puja Ulama di Pantai?” bidas Sohaimi Ali.