Malaysia Dateline

NATO jangan bawa perang ke Asia Tenggara, pinta Mohamad Sabu

Berucap pada majlis makan malam bersempena persidangan Munich Security Conference 2020 #MSC2020 di Jerman semalam, Menteri Pertahanan Malaysia, Mohamad Sabu mengingatkan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan negara Eropah supaya tidak membawa perang proksi ke Asia terutama di kawasan laut China Selatan.

Kata beliau, semua pihak sedar bahawa China sedang muncul sebagai kuasa baharu dan Malaysia jelasnya akan sentiasa berbincang dengan mereka.

Mohamad juga menyeru menyeru negara-negara Eropah untuk bersama berbincang bagi mengekalkan keamanan di Laut China Selatan.

Majlis makan malam tersebut turut disertai jeneral-jeneral tentera termasuk dari Amerika Syarikat di bawah kumpulan NATO dan pemain industri Eropah.

Pada majlis itu, mereka berbincang tentang Rusia yang ekonominya rendah tetapi ketenteraannya hebat dengan pelbagai senjata termasuk roket baru diperkenalkan.

Di pihak Eropah, mereka juga memberitahu sedang berusaha memodenkan lagi persenjataan untuk bersaing dengan Rusia dan sejak selepas perang dunia kedua, tiada perperangan besar antara Rusia dan Eropah kecuali perang dingin.

Kata Presiden AMANAH itu, Malaysia turut berbangga dengan kemajuan Eropah dan Rusia, namun beliau menegaskan bahawa walaupun negara Eropah dan Rusia tidak berperang, tetapi mereka telah mengalihkan perperangan mereka secara proksi ke Timur Tengah.

“Mereka menaja dan membiayai kumpulan-kumpulan yang mereka mahu. Paling jelas adalah seperti yang berlaku sekarang di Libya,” kata beliau.

Sehubungan itu dengan kemunculan China sebagai satu kuasa baharu, beliau tidak mahu perkara yang serupa berlaku di Asia.

Persidangan Munich Security Conference 2020 #MSC2020 di Jerman itu diadakan bermula 14 Februari dan berakhir hari ini.