Malaysia Dateline

Nazri dakwa Ku Li kecewa tidak dapat jadi PM

Tindakan Tengku Razaleigh Hamzah meletak jawatan Pengerusi Jemaah Penasihat Umno disebabkan kecewa tidak dapat jawatan Perdana Menteri, kata Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Nazri menegaskan kekecewaan bekas Presiden Parti Semangat 46 berusia 83 tahun itu jelas kerana tidak ada Ahli Parlimen Umno yang menyokong beliau untuk jawatan Perdana Menteri.

“Masa tandatangan surat sokongan dan ketika majlis menghadap Yang di-Pertuan Agong, hanya 41 Ahli Parlimen Barisan Nasional yang menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Sepatutnya, BN ada 42 tetapi saya difahamkan Ku Li calonkan nama beliau sendiri jadi kami cuma 41 Ahli Parlimen.

“Kerana hanya beliau menyokong dirinya untuk jawatan Perdana Menteri jadi tidak dapatlah, jadi agaknya dia kecewa sebab itu letak jawatan Pengerusi Jemaah Penasihat Umno.

“Jawatan itu pun cuma window dressing saja. Tidak ada nasihat beliau yang Umno pakai,” lapor Astro Awani.

Nazri berkata demikian sebagai reaksi terhadap tindakan Ku Li yang juga Ahli Parlimen Gua Musang meletak jawatan Pengerusi Jemaah Penasihat Umno.

Menerusi sepucuk surat bertarikh 20 September lalu, Ku Li berkata, beliau meletakkan jawatan yang dianggap sebagai tidak berpelembagaan itu berkuatkuasa mulai tarikh surat tersebut diserah.

Mengulas lanjut, Nazri berpendapat tindakan terbaharu Ku Li tidak mengejutkan memandangkan beberapa tindakan wakil rakyat paling lama berkhidmat sejak 1969 itu mengambarkan beliau tidak bersama Umno.

“Sebelum ini, Ku Li minta untuk tempat beliau dalam Dewan Rakyat diletakkan berhampiran tempat duduk pembangkang. Kita nak tahu itu untuk apa?

“Umno bersama kerajaan, kalau mahu duduk dekat dengan pembangkang adakah maknanya beliau sudah tidak bersama Umno?” pertikainya.

Dalam masa sama, Nazri juga mempersoal hasrat Ku Li semalam yang mahu menghidupkan kembali Umno yang lama.

Nazri berpendapat bahawa Umno yang lama diharamkan oleh Mahkamah kerana tindakan Ku Li yang tewas pemilihan parti tahun 1987.

“Beliau perlu ingat, disebabkan tewas pemilihan itulah ada penyokong beliau yang bawa isu pemilihan ke mahkamah dan Umno diharamkan.

“Malah beliau tidak bersama Umno yang baru tetapi menubuhkan Parti Semangat 46 hingga kita tewas di Kelantan sejak 1990 hingga sekarang.

“Jadi, dia nak apa buktikan apa bila nak hidupkan Umno yang lama? Nak jadi Presiden? Kalau sayang Umno sokonglah kerajaan yang Umno terajui dan jadi Perdana Menteri,” tegas Nazri lagi.